Keseorangan di Kota New York
Beranikah aku? Sanggupkah aku menempuh masa seorang diri di Kota New York, kota yang berdebu, kota yang menakutkan dan diselubungi cabaran agresif. Mampukah aku bertahan tanpa sebarang teman atau kenalan akrab di New York? Percutian ini bermain-main di kepala aku dan tanpa berfikir panjang, aku terus menekan butang "enter" dan membeli ticket ke New York melalui laman sesawang.
Perasaan gentar tidak meninggalkan aku beberapa bulan kemudian bila aku berada di teksi kuning New York. Pemandu teksi yang berasal dari Bangladesh bercakap dengan beria-ria, mungkin bosan dengan sifat kerja menyendirinya. "9 hari di New York ke? Pasti banyak yang akan kamu lihat," katanya. Timbul rasa takut di benak hati; bolehkah aku melalui 9 hari ini dengan tenang dan gembira? Adakah aku akan merasa tertekan berseorangan sepanjang berada di sini? Apabila sampai sahaja ke tempat penginapan Airbnb, langsung aku tersentak. Apa? Pangsapuri lama dan sedih ini akan menjadi rumahku untuk 9 hari? Celaka betul. Rasanya aku tidak memilh dengan bagus. Baru saja aku terbang dari Seattle dimana Airbnb aku cukup enak, bagaikan hotel. Ini seperti ........... pangsapuri dari mimpi buruk.
Dengan perasaan marah yang meluap-luap, aku berlari lintang-pukang merentasi beberapa blok, untuk mencari restoran yang mempunyai wifi. Mujurlah aku terjumpa Starbucks dan terus berkomunikasi dengan hos Airbnb aku. Bila marahku reda sedikit, aku sedar bahawa aku tidak boleh membanding penginapan. Memang hos Airbnb aku kurang bertanggungjawab tetapi pangsapuri itu tidaklah begitu teruk. Aku harus positif. Perasaan aku bertambah baik bila aku mendapati ada wifi di pangsapuri. Hos dengan baik hatinya bersetuju untuk membeli kipas angin untuk aku apabila aku mengadu kepanasan di siang hari. Lega. "Lin Dee, kamu akan gembira disini," aku mengingatkan diri ketika memasuki tab mandi petang itu. "Kamu akan buat yang terbaik dengan apa yang ada."
Malam itu, aku tidur kesejukan. Buntu aku dengan cuaca New York.
Keesokan harinya, aku membuka mata dan mendapati diriku di bilik yang asing. Aku mengangkat kepala dan dikejutkan oleh alunan tilam angin yang menjadi tempat tidur aku. Tilamnya bagaikan bot di laut. Ah! Realiti datang menerjah. Aku di New York. "Aku akan positif dan gembira," laungku dengan tegas. Hari ini aku harus menghadapi seteru utama di kota New York - SUBWAY! Menggigil badanku memikirkan cabaran ini. Pengangkutan seharian penduduk New York cukup merimaskan aku. Sudah saya membaca mengenai kerenah orang New York ketika berhimpit di subway. Sifat kurang ajar dan tidak sabar penunggu-penunggu subway ini merisaukan aku. Namun selepas bersiap, aku menabahkan hati dan menuju ke tangga subway "Cathedral Parkway." Aku berhenti sebentar dan mengenyitkan mata untuk melihat. Nun jauh dan gelap nampaknya. Aku menghembus nafas dan mara ditelan kegelapan. Ya tolong aku Tuhan. Wanita di dalam pondok subway memberikan aku muka masam dan menjawab soalan aku sepertinya aku kanak-kanak. Wajahnya tidak lari dari emoji yang poyo. Rasa mau menampar mukanya berbuku dihatiku.
Situasi subway ini sukar bagiku yang kurang pandai dalam bidang lojik dan matematik. Aku jenis yang kreatif dan suka bermimpi. Tetapi, terbelenggu dalam kawah New York yang mengelirukan, aku memaksa diri memahami peta subway dan menguatkan kesemua deria aku. Peta ini menjadi kitab injil sepanjang masa aku di NYC. Memang pening pada permulaannya. Tetapi bersama dengan pertolongan orang lain dan peta subway, aku berjaya menyelesaikan misteri rangkaian subway New York yang berular ke Manhattan, Queens, Brooklyn, Bronx dan Harlem. Orang New York memang bersedia membantu dan peramah. Aku melonjak kegembiraan bila berjaya menukar rangkaian dengan betul.
Pernah suatu kali, aku mengambil subway salah ke Harlem. Apabila timbul ke permukaan jalan, wah, dunia "Gangsta's Paradise " terbentang dihadapanku. Disekeliling aku hanya orang African American, - bermain bola keranjang, memakai sweater besar, duduk memerhati dan berlegar. Aku cukup teruja sehinggalah dipanggil oleh salah seorang mereka yang memerhatiku "Heyyyyy, I like your hair." Langsung aku melarikan diri dari Harlem, tergesa-gesa mencari jalan keluar yang betul. Memang berlebih perlakuan aku, tetapi disaat itu, adegan filem-film ganas memasuki kepala aku, dan aku tidak berfikir dengan waras.
Cabaran subway hanya satu sahaja. Jalan-jalan kota New York seolah-olah mempunyai nyawa yang tersendiri. Aku kurang memahami sistem "street", "avenue", "east/ west" dan dibaham kota New York pada mulanya. Kerapkali aku sesat, mundar-mandir mencari nama jalan. Dimana harus aku pusing? Eh mana perginya stor Macy's tadi? Stres juga. Dalam suatu situasi yang hiruk-pikuk, aku betul-betul kehilangan akal. Basah, sejuk dan terumbang-ambing di lautan orang , aku menyeru "I need a Starbucks!" Tuhan seperti mendengar permintaan anakNya. Aku pusing dan terlihat logo Uniqlo. Mengikut signboardnya, Starbucks berada di Tingkat 2 di Uniqlo. Betapa gembiranya aku. Terima kasih Tuhan. Lantas aku memasuki Uniqlo, tempat aku berlindung sementara menunggu hujan reda.
Cabaran berikut yang menakutkan aku adalah kelas menari. Aku suka sungguh muzik dan menari. Di negaraku Malaysia, aku kerap mengambil kelas menari. Tetapi New York, asal datangnya dansa hip hop, pasti jauh lebih sukar. Adakah kelas itu akan membinasakan keyakinan aku? Aku takut tapi memberanikan diri dan mengambil subway ke Union Square. Suara hatiku berkata "You're gonna be alright." Pelatih hari itu Vida, nampaknya tegap dan berperasa New York. Pinggulnya seperti elastik, meliuk ke kiri dan kanan dengan sempurna. Aku memasuki kelas dengan degupan jantung berdebar dan melepaskan doa kepada alam supaya membantu aku. Kelas bermula dan perasaan gemuruh aku lesap. Aku beralun ke dunia lain dibuai muzik rancak. Vida memang baik dan menggalakkan orangnya. Corak kelasnya tidak berapa jauh dari kelas aku di Malaysia. Maklumlah guru-guru aku di Malaysia memang bagus. Kelasnya tidak senang tetapi aku dapat mengikutinya. Mungkin kerana di New York, aku dapat melepaskan diri dari belenggu malu dan kaku. Aku menari dengan bersungguh dan sepenuh hati. Tiga hari kemudian, otot-otot aku bukan main sakit :D oh best betul hahaha!
Selesai dengan cabaran-cabaran "menakutkan", aku lebih bebas mengembara di Kota New York. Aku biarkan diri aku sesat dan kurang melihat waktu. Aku mula menikmati New York dengan lebih bebas! Biar pun malam datang, aku tidak lagi takut. Aku juga mula berhenti mencari tempat-tempat yang popular dengan pelancong seperti Wall Street, Rockefeller Centre, Brooklyn Bridge dan muzium-muzium ternama. Aku mula membuat perkara biasa seperti duduk berpanjangan di Starbucks atau mana-mana diner dan deli. Aku memasuki tempat yang menarik perhatian aku dan bukan kerana ianya tarikan pelancong. Aku menghabiskan masa menulis dan menikmati keindahan suatu tempat.
Aku merayau-rayau di sekitar Kota New York, merasai makanan dan mendengar perbualan penduduknya. Pizza, ais krim dan sandwic menjadi santapan harian aku. "How's it goin?" menjadi pembukaan disini. Kota ini sesungguhnya penuh dengan orang dari merata dunia. Berpuluh-puluh nasionaliti menetap disini dan kacukan ini menjadikan New York begitu unik. Tujuan aku ke New York bukan semata-mata untuk beriadah. Aku gemar bercuti solo untuk membuka minda dan untuk mempertingkatkan pembangunan diri. Biar diingatkan, percutian solo bukan romantis seperti yang dijangka ramai. Sebaliknya, ia memerlukan keberanian dan stamina bersendirian.
New York, kota dimana impian dan kesenian bertumpu membalut aku dalam ritmanya. Manakan aku tidak memaksimakan masa aku disini? Aku mendaftarkan diri untuk 3 kelas menulis (fiksyen dan esei) untuk mengasah bakat ku. Kelas-kelas ini memberikan aku sedikit rutin dan makna selain daripada beriadah sahaja. Setiap pagi, aku mengambil subway ke Penn Station, yang terletak berdekatan dengan Times Square. Sesampainya disana, aku berjalan beberapa blok ke 37th Street untuk membeli kopi dan bagel dan kemudian menyeberang jalan ke Gotham Writers Workshop. Suka hati aku memikirkan pengembaraan New York ini. Aku tidak takut untuk menghadiri kelas menulis. Inilah kesukaan utama aku. Ilmu yang yang aku timba dari kelas-kelas ini berharga sekali. Pengajarannya peka sekali kepada psikologi orang. Kelas menulis ini juga memberikan aku peluang untuk berinteraksi rapat dengan orang Amerika. Ketiga-tiga guru menulis aku mempunyai latar yang berbeza dan memberi aku pemahaman am mengenai perawakan orang Amerika. Mereka gemar meluahkan fikiran tanpa segan, tetapi mempunyai sifat penggalak dan sensitif kepada perasaan orang lain yang kurang ada pada orang Asian.
Tidak aneh langsung di New York untuk duduk berseorangan membaca, mendengar muzik atau sekadar berjemur. Jarang di negaraku, dimana stail berkumpulan lebih disenangi. Aku cukup tenang bila duduk berseorangan di Times Square, Battery Park dan Central Park untuk menulis. Alam sekitar yang indah, cuaca yang selesa dan persekitaran yang begitu membenarkan begitu efektif untuk membuka inspirasi. Itulah saat-saat paling menggembirakan buat aku di New York.
Tetapi apa yang paling mengujakan untuk diriku ialah kemampuan aku bersendiri tanpa perasaan keseorangan atau tertekan. Kali pertama aku bercuti solo di Kanada, aku tidak biasa berseorangan di negara asing tanpa interaksi tempatan. Perasaan berseorangan mengabungiku pada hari kedua dan aku pasrah menghadapi hari-hariku. Tetapi tidak kali ini. New York dengan adunan uniknya mengalukan aku dengan kasih sayang. Senyuman, pertolongan dari penduduknya dan kehebatan kotanya memastikan masa aku cukup terjaga. Sungguhpun aku lebih berpengalaman dalam dua tahun ini, New York, yakni dengan puluhan keajaibannya memelukku dengan erat dalam pengembaraan solo ini. Aku menghabiskan masa keseorangan dengan rasa aman dan gembira.
Pada hari kelima, aku hampir tidak bangun dari tilam bot aku. Aku tidur dengan lena dan selesa. Aku sudah mula biasa dengan penginapan yang mula-mula ku benci. Aku juga mula bercakap dengan lebih cepat, semakin selesa dengan loghat Amerika. Aku cuba mempelajari loghat New York yang begitu khas sekali. "You got noBODy in New York?" Perkataan nobody ini sering mengganti "anybody." Malangnya aku memerlukan lebih masa untuk menguasainya :)
Bila mental melalui perjalanan yang baru, perspektif mula menukar. Pada kebiasaannya, orang Asian takut atau rendah diri dengan orang barat. Aku akui aku juga begitu. Tetapi tidak lagi selepas pengalaman ini. Interaksi aku dengan mereka menunjukkan dengan jelas persamaan kita. Kita mempunyai perasaan dan keinginan yang sama. Apa yang berbeza cuma budaya kita dan perbezaanlah yang menjadikan dunia menarik dan indah. Orang Asian banyak kepandaian dan pencapiannya. Apa yang harus kita takut? Ramai penduduk New York menanya negara asal aku. Aku dengan bangga menceritakan mengenai Malaysia dan keunikan penduduk dan variasi makanan kita yang tiada tandingannya. Interaksi aku banyak yang positif dan ada yang menjadi kawanku. Aku kembali dari pengembaraan solo ini dengan tahap keyakinan dan perspektif yang baru.
Sewaktu aku duduk di atas batu tinggi di Central Park, aku mengeluarkan ipad untuk mula menulis. Perasaan gembira bertapak di hati aku. Betapa jauhnya sudah aku datang. Dengan senyuman terukir di mukaku, aku mula menulis dengan bebas dan penuh inspirasi. Aku menulis artikel ini sewaktu di New York.
Kota New York, kau begitu baik padaku. Kau jadikan aku manusia lebih baik. Aku pasti kembali menemui mu :)
Peta subway kini terlekat di dinding bilikku.