Ya Saya Sensitif, Jadi Kenapa?

Russia River.jpg

Dunia mungkin sedikit sukar untuk mereka yang sensitif.

Perasaan kita mendalam, kerenah manusia ah jahanam.

"Kalau sensitif, susahlah nak bekerja," saudari Juliana menjawab dengan nada separuh menyindir. Saya memandang terus ke arah mata klien saya. Kata-katanya menaikkan marah saya.

Saya telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pembekal yang pernah menyekat pembayaran saya dalam suatu projek. Apabila saya mengingatkan klien saya, lancar sahaja dia membalas "Itu diantara kamu berdua." Katanya-katanya menampar saya. Jelas sekali dia menjalankan perniagaan dengan prinsip hitam putih. Prinsip dimana emosi dan perniagaan itu tidak bercampur. Dogma yang tidak bergema dengan suara hati saya.

Rasa terkejut beriak di hati saya. Saya tidak menjawab dan membiarkannya bercakap. Selesai saja mesyuarat kami, saya melangkah keluar dengan perasaan gusar. Tuduhan sensitif bermain-main di kepala saya.

Sensitif? Saya sensitif? Pandai betul ya orang mahu menuduh saya sensitif. Tetapi ingin saya menyampaikan beberapa kebenaran disini.

Apa Salahnya Sensitif?

Sedar tak, senang saja untuk memberi hujah tidak sensitif, "Eh teruk la cara kau memandu," tetapi salah jika si penerima itu terguris perasaannya. "Sensitif betul la kau." Yang mengata itu dikatakan "direct" dan bangga sekali dia menampilkan sifatnya yang direct. Che wah!

Tiba-tiba je, dia dah jadi wira. Yang terguris itu dilabel sensitif. Hish! Dimana keadilannya?

Dunia bisnis didominasi oleh kaum lelaki selama ini. Maka tidak hairanlah, sekiranya sifat-sifat lelaki seperti agresif, kurang sopan (curt), tidak sensitif dan bertindak melulu menjadi kebiasaan dan "kebenaran" dalam arena bisnis. Tetapi adakah ini sentiasa benar? Perlukah kita menerima sahaja tanpa mempersoalkan jika nilai-nilai ini kekal relevan. Saya rasa tidak. Agresif dan melulu itu memang ada baiknya. Dunia bisnis ini memerlukan pemikiran berani dan kesanggupan mengambil risiko. Tidak ada kejayaan sekiranya tiada dua elemen ini.

Tetapi, sepanjang saya menjalankan bisnis, sifat sensitif ini ketara sungguh dalam penampilan saya terhadap klien dan pasukan kerja saya. Percakapan yang sensitif dan pandangan secara perseptif ada kelebihannya. Pendekatan sebegini banyak manfaatnya. Secara langsung, kamu akan lebih disukai, lebih didekati, lebih disokong dan diberi pelbagai peluang.

Pernah suatu ketika di dalam mesyuarat, klien lelaki saya terlanjur bercakap. Saya terkilan dan menunjuk ketidakpuasan dengan perasaan terkawal. Salahkah menunjukkan emosi saya? Sensitifkah? Adakah saya harus membisu dan senyum? Secara amnya, menonjolkan emosi di dunia bisnis itu suatu kelemahan. Saya pasti jika saya lelaki, perasaan malu lebih kuat sebab ego itu lebih tinggi. Perbezaannya, emosi setinggi mana pun, si lelaki tidak akan menunjuk sebarang perasaan. Perkara itu akan berlalu. Elokkan? Oh tidak. Itu seperti pendekatan robot. Nampakkah muka saya seperti robot?

Ingat ya, perasaan kelakian tidak semestinya betul. Sifat egois yang menyebabkan seorang lelaki mengotakkan perasaannya dalam situasi yang sukar adalah juga pemacu utama seorang lelaki pandai membesarkan diri. Itu bagus. Tetapi tidak semestinya apa yang sering dipraktikkan itu betul. Bukankah itu diantara sebabnya lelaki lebih awal menemui ajal? Semuanya dikotakkan. Mana tak mati cepat?

Keesokan harinya, klien saya menghantar suatu email yang berkongsikan maklumat yang cukup memaanfaatkan dan tidak ada kena-mengena dengan projek kami. Jelas, itu caranya dia meminta maaf terhadap saya. Saya cukup menghargai tanda persahabatannya. Lantas, saya membalas dengan peramah dan perhubungan kerja kami bertambah baik. Lenyap segala persengketaan yang berlaku.

Sebagai seorang usahawan wanita muda, saya sensitif dengan semua kehendak klien dan pasukan saya. Saya tidak gemar bercakap dengan keras. Kalau ada komen negatif yang harus diberikan, biar dikatakan dengan lembut. Hasilnya selalu indah. Kenapa harus melukakan hati orang? Kenapa harus biadap dan selepas itu bersembunyi di sebalik perkataan "direct" sebagai perisai. Penyampaian yang lebih "direct" hanya saya gunakan apabila seseorang itu terlalu lambat menyelesaikan sesuatu tugasan.

Sensitif dan Kemurniaan Datangnya Dalam Satu Pakej

Perkataan sensitif ini mempunyai konotasi yang negatif. Tidak adil sungguh terutama bila sifat sensitif ini datang dengan banyak kebaikannya. Terkial-kial ya semua, jadi biar saya berhujah sedikit disini. Perkataan sensitif ini dilemparkan dengan tidak semena-mena, dan pada pandangan saya, dengan kecuaian yang tidak serasi dengan situasi.

Saya tidak merujuk kepada mereka yang sensitif bila dikomen tetapi tidak sensitif kepada perasaan orang lain. Itu sifat sensitif kurang baik yang mementingkan diri. Sensitif yang dikatakan oleh saya, adalah sensitif holistik. Seseorang yang mempunyai sifat sensitif akan memikirkan perasaan sensitif orang lain. Biasanya orang yang sensitif adalah pendengar yang baik. Biasanya mereka yang membantu haiwan kurang bernasib baik atau yang memberi masa mereka kepada isu-isu sosial yang boleh meningkatkan taraf hidup sedunia adalah mereka yang sensitif. Kerana kecenderungan untuk merasai kesakitan orang lain, orang sensitif banyak menghabiskan masa membantu orang lain.

Saya disini untuk membela anak-anak sensitif di dunia ini. Pernah tak membaca buku "The Highly Sensitive Person" oleh Elaine N. Aron, Ph.D. Buku ini membuka mata kepada mereka yang berperawakan sensitif. Bukan sekadar sensitif, kaum sensitif sememangnya kurang difahami. Perasaan mereka yang sensitif jauh lebih mendalam, mereka merasai apa yang ramai tidak merasai. Lojik bukan jika mereka yang lebih sensitif, merasai dengan lebih mendalam?

Selalunya, mereka yang sensitif merasai perasaan yang tidak dirasai orang lain. Lalu mereka dipanggil terlalu sensitif. Namun, disebabkan orang lain tidak merasainya tidak bermaksud apa yang mereka rasai tidak wujud atau benar. Antena mereka yang sensitif jauh lebih sensitif dari kalangan massa. Reseptor mereka cukup tinggi.

Ramai yang menyukai orang sensitif kerana kepekaan dan kemurnian hati mereka. Wahai semua, kemurniaan (kindness) dan sensitif itu bukan ekslusif. Kedua-duanya datang dalam satu pakej. Kalau ada yang kurang berkenan dengan sifat sensitif, adilkah jika kamu mahu menuntut kemurniaan kami sekali? Tidak realistik jika kamu mahu bahagian kemurniaan tanpa bahagian sensitif. One doesn't come without the other yo!

Dalam menuduh saya sensitif, klien saya saudari Juliana sebenarnya menonjolkan dirinya yang tidak sensitif langsung. Saya juga berhak mengatanya. Besar sungguh permintaannya meminta saya bekerjasama dengan pembekal yang pernah menyekat pembayaran saya.

Salahkah jika saya merasa tidak selesa dalam situasi yang janggal ini? Saya enggan melibatkan diri dalam bisnis yang begitu berkelas rendah. Apakah perbezaannya dengan seorang isteri yang harus menghadiri perkahwinan bekas suaminya? Pasti janggal bukan? Jika hatinya kurang berkenan mahu menghadiri perkahwinan tersebut, haruskah dia dituduh "sensitif?" Haruskah dia menghadiri majlis itu untuk menunjuk "kebesaran" hatinya? Kenapa kenapa kenapa? Kenapa harus selalu "politically correct?" Ah. Dunia ini sudah penuh dengan hipokrit. Sumbangan dari saya tidak perlu.

Kebesokan harinya, saya menolak tawaran projek dari saudari Juliana. Klien seperti kurang gembira. Saya pula? Ringannya hati saya :) Dalam menjalankan bisnis, wang tidak pernah menjadi insentif utama buat saya. Jujur. Kepuasan dan kegembiraan jauh lebih penting.

Kami Yang Sensitif Mempunyai Banyak Ciri Baik Lain

Ya saya sensitif. Biarlah saya meneriak kebenaran ini dari gunung tertinggi. Tetapi, kalau saya tidak dibenarkan bersifat sensitif, jangan mengharapkan kebaikan yang datang dari sifat sensitif saya. Sebab kami yang sensitif mempunyai banyak kualiti lain.

  • Kerana saya sensitif, saya adalah pendengar yang sangat baik. Saya pasti mereka yang tidak sensitif kurang mempunyai nilai ini.

  • Kerana saya sensitif, saya amat merasai kesedihan teman-teman saya. Saya tidak sekadar mendengar masalah, saya proaktif dalam membantu mereka mengatasi cabaran.

  • Kerana saya sensitif, saya tidak takut mempertahankan rakan yang disalahi. Kami yang sensitif memahami psikologi orang dan tidak tahan melihat ketidakadilan.

  • Kerana saya sensitif, saya selalu mengutamakan kehendak orang lain dihadapan saya. Saya akui ini tidak selalu baik dan saya sudah mengambil langkah untuk mengurangkan sifat ini agar tidak terlalu merugikan diri.

  • Kerana saya sensitif, saya pasti senyum pada pelajar baru di kelas dansa saya agar mengurangkan perasaan gemuruh mereka.

  • Kerana saya sensitif, saya membeli makanan setiap hari tanpa gagal untuk anjing jiran saya yang cukup kasihan.

  • Kerana saya sensitif, saya mempengaruhi banyak kawan untuk berubah. Perbezaan tampak sekali. Mereka menjadi lebih sensitif, lebih menggalakkan dan sifat penyayang mereka meingkat.

  • Kerana saya sensitif, saya tidak ada masalah menghulurkan bantuan kepada kawan-kawan saya, biar dalam bentuk masa, tenaga atau kewangan.

Jadi, kepada mereka dan mereka yang melabel saya sensitif, biarlah berfikir jauh pasca dalam. Dengan rendah hati, saya menyeru kepada kalian supaya lebih memahami mereka yang bersifat sensitif. Bukalah minda anda kepada kualiti-kualiti lain yang ada pada kami.

Jika tetap yang tidak selesa dihati,

Carilah teman yang tidak dibuai sensi

Ikhlas saya sanggup menerima,

Kerana pilihan saya sama saja

Maka hidup kita masing-masing,

Pastinya lebih bahagia.

Oh ya Tuhan iya!

This article was written in 2016.

Previous
Previous

Why Dance Classes Are My Religion

Next
Next

I Went 2 Weeks on an Amazing Diet!