Persahabatan Aku & Abang Mior

Abang Mior and Me  Happy.jpg

Kami mula berkenalan 3 tahun yang lalu. Tahun dimana aku masih bekerja sebagai wartawan dan duniaku riuh dipacu klien dan alam separa korporat. Aku baru mencecah masuk ke industri perfileman selaku penerbit eksekutif. Drama realiti dibawah sokongan kewangan aku berakhir dengan pelbagai cacarmarba, pergaduhan dan penghancuran persahabatan.  Apabila menerima permintaan menjadi penerbit eksekuti lagi, perasaan sangsi timbul.

“Mior Hashim Manap mencari “funder” untuk drama RTMnya “Janji Allah,” seloroh kawanku Haji Zaini. “Jumpalah dengan dia.”

“Mior Hashim Manap?” tanyaku. “Siapa dia? Terkenal ke? Boleh dipercayai?” Hambar minatku. Haji Zaini mengangguk tersengih.

2 hari kemudian, aku dan Abang Mior bertentang mata di meja mamak ditepi jalan Ampang. Bunyi kereta dan motosikal berdesing di sekeliling kita. Dia meminta maaf kerana lewat dan kami menyapa mesra. Orangnya ceria, matanya bersinar dan rambutnya mengurai, bak pahlawan Melayu dari buku cerita lagenda zaman kanak-kanak aku. Perbahasannya pantas. Beberapa minit berlalu dan sangsiku kian surut.  Perbualan kami bagaikan perlawanan bolasepak yang ligat. Lucu. Tajam. Aku rasa aku berkenan dengan orang ini.

Apa pula pandangan pertama Abang Mior mengenai aku, Si Amoi comel, berambut emas dengan senyuman girang? Periang? Tulus? Mungkin juga Abang Mior curiga dengan Si Wartawan dari Star ini; pendapatnya, wartawan mempunyai kebolehan untuk menulis yang bukan-bukan. Terkekeh aku mendengar usikan Abang Mior.

Perbincangan kerja tidak mengambil lama. Sejurus kemudian, tajuk perbualan bergerak ke industri perfileman dan isu-isu global yang mencabarinya. Meja mamak kami menampung 5 orang, isteri Abang Mior dan teman-teman saya. Tapi jelas perbualan berdentum rancak di antara Abang Mior dan aku. Abang Mior dengan pendiriannya, aku dengan pelbagai soalan dan komen. Topik kami luas, dalam, mungkin kurang diminati mereka yang lebih suka bersantai sewaktu menghirup kopi dan udara. Tapi aku dan Abang Mior teruja, dan petang menjadi aktif, kinetik, positif.

Berjam-jam kami berborak, sehinggalah disiku rakan kongsi aku. Kami melambai dan bersetuju untuk berjumpa di Kedah beberapa minggu yang akan datang untuk penggambaran telemovie Janji Allah.

Bermulalah duniaku dengan Abang Mior. Dunia dimana kehadirannya mula mewarnai rona hidupku. Aku mula bertanya-tanya di kalangan sahabat Melayu dan barulah mendapat tahu betapa besarnya nama Abang Mior dalam industri perfileman. “Mior Hashim Manap, orangnya berseni,” kata kawanku. Beliau hebat sebagai pelakon, editor dan sutradara di tahun-tahun yang lepas. Suara-suara turut melaporkan bahawa kualiti kerja Abang Mior tidak boleh disangkal, hasilnya bagus, visinya besar. “Eh Mior yang buat? Ah mesti bagus,” itulah pendapat seorang sutradara terkemuka di Malaysia.

Tapi senyap kerjayanya dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Apa yang terjadi? Suara-suara bergema bahawa Abang Mior bukan senang orangnya bila bekerja. Cepat marah, cepat memaki mereka yang malas. Set Abang Mior kerap kehilangan kru kerana disuruh “keluar” bila termenung, tidak bersedia atau lembab menjalankan kerja. Aduhai! Ada pula yang berbisik “Abang Mior kuat merajuk.”

Sesampai di Kedah, aku kurang mendapat peluang berbual dengan Abang Mior. Nampaknya Sang Sutradara sibuk menatap kamera. Ketelitian merupakan sifat intrinsiknya. Setiap butir dan elemen tiada peluang melarikan diri dari pemerhatian tajam Abang Mior. Aku mengangguk yakin kepada rakan kongsiku yang bersama. Projek telemovie berakhir dengan baik tanpa sebarang masalah yang melanda produksi pertama aku. Tidak lama kemudian, aku menjadi penerbit eksekutif untuk 3 telemovie Abang Mior yang lain, “Tetamu Iman,”, “Demi Mira,” dan “10 Zulhijjah.”

Si Penulis dan Si Sutradara

Persahabatan aku dan Abang Mior menjadi rapat apabila aku memutus untuk menulis skrip filem bersamanya. Sudah tibanya masa aku membuahkan hasil kerja sendiri dan Abang Mior pilihan utama aku dalam melaksanakan projek ini.  Aku tertarik dengan tahap tinggi kerjanya dan yakin kami boleh menghasilkan sesuatu yang bermutu. Abang Mior pula sabar dengan kehijauan aku. “Lin Dee, ini bukan treatment skrip,” katanya apabila melihat draf penulisan saya. “Ini cuma rentetan.” Aku terkial-kial. “Yakah?” Petang itu, sambil menghirup teh, Abang Mior menghabiskan masa berjam-jam menerangkan seni penceritaan kepada aku. Rakan kongsi menyiku aku lagi. Aku balik dengan kepala yang hampir meletup dengan idea dan pengetahuan baru. Beratnya tugas menulis skrip ini, fikirku sewaktu membuka laptop.  Mulalah aku menaip.

Oh sudah pasti proses ini tidak senang. Perjalanannya panjang dan menggusarkan. Mungkin Abang Mior terhibur dengan Si Comel ini yang bercita-cita ideal dan melekat kepadanya. Mungkin seronok juga menjadi guru kepada anak murid yang gigih belajar. Maka melayanlah dia kepada aku. Perjumpaan kami mula menjadi kerap. Aku dan Abang Mior sealiran apabila membahaskan motif suatu filem. Kami suka kepada filem yang berjiwa, bermakna dan berupaya menggerakkan masyarakat. Kerap kami berkongsi idea dengan bercawan-cawan kopi-teh dan kerap rakan kongsiku bosan di sisi kami.

Tapi banyak perbezaan pendapat diantara kami. Masing-masing mempunyai pendirian yang kuat. Abang Mior suka kepada cerita tradisional, bersejarah, epik dan filem yang membawa nilai-nilai kekeluargaan dan bangsa yang tinggi. Aku pula, suka dengan filem moden, bergerak pantas, dan isu yang sofistikated. Isu aku tidak menarik minat Abang Mior. Isu Abang Mior pula, aku rasa terlalu simplistik. Idea kami bercanggah.

Tetapi jauh dilubuk hati, aku percaya dengan ilmu penceritaan yang ada padanya. “Bukan saya tak mahu terima idea Lin Dee,” kata Abang Mior sewaktu membelek penulisan skrip aku. “Kalau lojik, saya terima. Kalau tak lojik, mana boleh? Yakinkanlah saya, tapi tak boleh!” Aduh Abang!

Bagaimanakah agaknya dua orang seperti kami boleh berkawan? Abang Mior yang cukup beragama dan konservatif. Aku pula, yang agak berfikiran Barat dan jauh kerenahku dari kebanyakan gadis-gadis Melayu. “Kamu ni kasar la,” Abang Mior berkata. Aku ketawa terbahak-bahak. Ya, mungkin perbezaan kami banyak, tapi begitu juga persamaan diantara kami.

Abang Mior mula menjadi di antara kawan rapat aku. Kami sering berteks, sama ada menghantar artikel-artikel menarik, berita, bahan ketawa, lagu dan sebagainya. Bila aku bercuti di Amerika Syarikat dan Rusia, aku rajin menghantar foto, rumusan aktiviti dan pemerhatian aku kepadanya. Bila aku mengambil kelas menulis di NYC, aku tidak bersabar untuk berkongsi dengannya.

Suatu kali cerita pendek aku dipilih untuk dimasukkan ke majalah Commonwealth. Abang Miorlah antara orang pertama yang aku teks. “Sebenarnya saya rasa Lin Dee memang berbakat menulis.” Amboi, gembiranya aku mendengar pujian Abang Mior yang telah banyak kali menyiat penulisan skrip aku.

Jujurnya, aku melihat serpihan diri aku dalam Abang Mior. Abang Mior mempunyai semangat dan jiwa yang tinggi. Prinsipnya yang tersendiri.  Aku memang begitu. Keserupaan begini jauh melangkaui faktor seperti usia, agama atau bangsa.  Bila Abang Mior marah mengenai keadaan industri yang semakin terbabas, aku cukup memahami perasaannya. Bila rakan kongsiku membuat lawak bodoh, aku dan Abang Mior pura-pura ketawa, tak lucu pun kepada kami. Bukannya kami betul atau merasakan diri hebat. Tidak. Tapi kami seiring. Kami mempunyai emosi dan harapan tinggi untuk melakukan sesuatu untuk masyarakat, walhal dengan cara dan pemikiran yang berbeza.

Maka mulalah proses penulisan dengan Abang Mior. Mulalah kami berdua menjelajah alam dunia watak-watak ciptaan kami. Dunia realiti mula diselaputi embun fiksyen dan watak mula berputik. Mungkinkah “storytelling” merupakan kekuatan Abang Mior yang sebenarnya? Itulah pendapat saya. Abang Mior merupakan khazanah negara yang masih belum habis diperah.  

Setiap draf skrip aku diporak-perandakan Abang Mior. “Tak lojik kalau macam ni,” kerap saya mendengar darinya. “Apa cerita sebenarnya first act ni?” , “Eh skrip kamu macam kem motivasi.”, “Cerita macam dibuat-buat.”

Aku menggaru kepala, kurang pasti bagaimana untuk menyahut tuntutan Abang Mior. Bila mempertahankan premis, hujah saya ditepis satu per satu. “Tak lojik,” itulah jawapan paling kerap Abang Mior. Aku mengerutkan dahi tapi cekal menukar skrip.

Ketelitian Abang Mior menjadikan aku lebih teliti. Setiap mukasurat skrip terpahat di ingatan Abang Mior, sehingga aku sendiri, penulis skrip tergagap bila menjawab soalan. “Scene 40 di mukasurat 50 itu mesti ditukar,” katanya tanpa melihat skrip. Saya terhegeh-hegeh menyelak skrip mencari adegan.

Abang Mior mempunyai kelebihan “left brain” dan tajam merumuskan suatu cerita. Cerita sebenarnya bak kereta yang memerlukan komponen secukupnya untuk berfungsi dengan optimum. Sekiranya salah satu komponen lemah, berderailah ceritanya. 100 lebih adegan aku dipotong kepada 60 adegan. Masya Allah. Cerita aku sudah bertukar.

“Tak lojik Lin Dee, tak lojik.” Berjam-jam saya habiskan dengan Abang Mior, membincangkan skrip :D

“Tak lojik Lin Dee, tak lojik.” Berjam-jam saya habiskan dengan Abang Mior, membincangkan skrip :D

Tapi, banyak yang aku belajar dari Abang Mior. Aku rasa kebijaksanaan Abang Mior tidak diketahui atau dihargai sepenuhnya oleh masyarakat umum. Otaknya tajam! “Baguslah cadangan Abang,” kataku semasa sesi “brainstorm.” “Cadangan Abang memang sentiasa bagus,” jawabnya. Aku gelak dengan gedik Abang Mior, tapi sememangnya betul.

Rakan kongsiku mula serik. Aku kurang melibatkannya dalam proses penulisan dan hanya mengutamakan pandangan Abang Mior. Selagi Abang Mior berkata “tak pass,” memang “tak pass” untuk aku. “Boleh tak kita berdua habiskan skrip ini?” tanya rakan kongsiku. “Tak payahlah kamu asyik nak check dengan Abang Mior.” Aku memandangnya dengan mata berkelip-kelip, sedikit panas dengan permintaan tak lojik sebegini. Aku memang sayang dengan rakan kongsiku. Kebolehannya banyak. Tapi dari segi penulisan dan perfileman, aku paling percaya pada Abang Mior.

Pernah suatu kali, kami semua pergi menonton wayang. Habisnya filem itu, seperti biasa, mulalah aku dan Abang Mior bercakap banyak, mendiskusi filem. Mungkin aku terlalu sujud dengan kata Abang Mior, rakan kongsiku kurang berpuas hati dan perbualan mula berkitar mengenai siapa betul, siapa salah. Hah. Sekarang aku kena stress menjaga perasaan orang. Hish, macam boyfriendlah. Akhirnya aku dan rakan kongsi berpisah apabila timbulnya terlalu banyak perselisihan. Aku mengakui banyak salah dengan rakan kongsiku. Dia memang baik, banyak menolongku dan aku cukup menghargai jasanya. Tapi mungkin ini yang sebaiknya. Yang Maha Esa mempunyai kemahuannya.

Retak-Rekah

Dalam tahun pertama persahabatan kami, aku tidak menyedari yang Abang Mior mempunyai jatidiri Melayu yang kuat. Aku tidak menyedari yang Abang Mior mempunyai harapan tinggi untuk bangsanya dan muak dengan politik yang melemahkan bangsa. Aku pula, seorang gadis Cina dengan terlalu banyak idealisme untuk Malaysia yang mungkin tidak lojik dicapai. Disinilah kekurangan bernasnya aku.

Saya tidak mengetahui kecenderungan politik Abang Mior sebab tidak ditunjuk dalam Facebooknya dimana kami sering berinteraksi. Dengan kehadiran Abang Mior dalam Facebook, mulalah aku lebih sensitif kepada status yang mungkin menyakitkan hatinya. Sememangnya aku bukan jenis yang memuatnaik status yang mengapi-apikan bangsa di Malaysia. Tapi, maklumlah, kita menetap di negara dimana ramai yang tidak saling faham-memahami dan gemar mencetuskan pergaduhan di laman sawang. Mungkin disinilah aku merasakan bahawa persahabatan kami paling bagus dicontohi orang lain, dan paling mendalami erti persahabatan. Wajarkah jika aku berkata tahap hormat yang kami tunjukkan adalah elemen-elemen yang patut ada untuk semua yang tinggal di negara yang majmuk?

Hormat bukan sekadar menghormati tradisi orang yang berbeza agama. Hormat sesama bangsa di Malaysia terlalu pasif, terlalu membawa sikap “Kalau tak kacau aku, apa ku peduli? Ko buatlah sesuka hati.” Mentaliti sebegini bagus untuk perhubungan yang cetek. Bagus untuk memupuk bara kemarahan yang pasti meletup di suatu masa. Di manakah elemen memahami?  Di mana elemen cuba menyelami perasaan kawan kita? Mana wujudnya keadaan untuk menghadapi “difficult conversations?” tanpa menengking dan bergaduh? Itu harus dan perlu untuk negara seperti Malaysia.

Bagaimana pula kita menghadapi keaadaan bila kawan kita terguris dengan sesuatu ayat atau perlakuan kita? Apakah proses pemikiran kita di masa-masa sukar begitu? Bolehkah kita berfikir dengan sebab (reason), lojik, kebijaksanaan dan kasih sayang terhadap kawan kita? Selalunya, ayat dan perlakuan yang menyinggung itu tidak mempunyai motif untuk melukai dan merupakan kelalaian atau “ignorance.” Saya tidak bermaksud untuk meremehkan kata-kata yang menusuk tajam atau mengangkat kebendulan, tapi manusia memang lalai. Fikiran kita berbeza dengan alur masing-masing. Alangkah senangnya kalau sama fikiran kita, tapi dunia bukan begitu. Di kala itu, pesalah perlu diberitahu, perlu sedar dan meminta maaf dengan tulus. Pemangsa pula, dengan kesesuaian masa, perlu memberi kemaafan.

Aku tidak tahu yang Abang Mior dan aku akan sampai ke situasi itu.

Air pasang, air surut. Siang dan malam bersilih ganti. Kehidupan dan realiti perfileman di Malaysia menjadi sumber kekecewaan untuk kami berdua. Skrip kami akhirnya habis ditulis selepas 5 draf. Kami menamakan filem kami “The Full Moon.” Abang Mior suka dengan cerita kami. “Sebenarnya filem kita boleh dijadikan siri drama juga,” katanya. “Banyak lagi yang boleh kami ceritakan.” Mata aku terbeliak, “Cukupkah cerita kita untuk 13 episod?” Abang Mior mengangguk yakin. Mungkin, tapi aku kurang berminat dengan hala tuju itu dan melupakan idea itu.

Dengan harapan yang tinggi dan skrip di tanganku, aku berjumpa dengan pihak Astro. Pertemuannya positif. Cerita kami menarik, berpotensi, kata mereka. Terlonjak kegembiraan aku. Lantas, aku menghantar berita optimis kepada Abang Mior. Dia turut gembira dan bertanya banyak. Beberapa minggu berlalu dan Astro ingin berjumpa lagi. Kami berhubung beberapa kali. Maklumlah Astro berjumpa dengan ramai orang, dan aku cumalah salah seorang dari mereka yang menggamit harapan diterima masuk ke sororiti saluran Astro.

Minat yang mula-mula dtunjukkan Astro kian pudar. Teks aku dibaca tetapi tidak dibalas. Aku menunggu dan menunggu dan jawapan tidak datang. Syaitan! Aku menarik nafas panjang, menahan marah dan hampa. Begitu senang orang memperlekehkan masa orang lain. Pelaburan harapan paling meranapkan jiwa aku.  Dengan penuh kekecewaan, aku memberitahu Abang Mior bahawa tawaran supertele kami ditolak. Abang Mior menggeleng kepala, tetapi seperti diagaknya. Abang Mior seolah-olah redha dengan keadaan sedemikian, tapi aku kehilangan arah untuk beberapa minggu.  Apakah hasil usaha kita terbengkalai begitu sahaja?

Dalam kebuntuan aku, datanglah kawan baik saya Khai dengan jalan baru. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan memberi dana kepada syarikat produksi yang mempunyai cerita menarik. Khai menghantar kertas kerja “The Full Moon” kepada kenalannya di FINAS dan sekali lagi, responsnya positif. Harapan baru timbul dan kami mula bersedia untuk pembentangan akan datang.

Dalam pada itu, saya mula melihat perbezaan di Abang Mior. Pilihanraya GE14 telah dimenangi Pakatan Harapan dan iklim Malaysia mula disergah tiupan rasis kencang. Facebook menjadi medan peperangan perkataan, dimana cacian dan maki-hamun sesama kaum menjadi kebiasaan. Muatnaik Facebook Abang Mior mula dipenuhi pos beragama dan berelemen nasionalis. Pernah beberapa kali aku tersentak dengan pos yang jelas menunjukkan kesangsian terhadap kaum lain. Aku sedikit terpinga-pinga tetapi tidak berkata apa-apa.

Di waktu itu, aku juga telah meninggalkan kerja sebagai wartawan dan mula menjalankan bisnis sendiri. Aku menganjurkan program sekolah yang menggalakkan pelajar-pelajar sekolah bercakap Bahasa Inggeris. Adakah terlalu banyak elemen barat yang aku bawa masuk? Aku rasa tidak, aku cuma mahukan menaikkan peluang-peluang untuk adik-adik Malaysia aku. Tapi adakah tindakan saya itu dianggap mengabaikan bangsa dan budaya Melayu kepada Abang Mior? Mungkin. Mungkin Abang Mor kurang bersetuju dengan tujahan aku. Suatu hari, semasa kami berborak di ruang kumpulan whatsapp, Abang Mior marah dengan balasan aku. Aku hairan apabila tiada jawapan dari Abang Mior. Aku yang terjadi?

Beberapa hari kemudian bila aku menghantar teks kepada Abang Mior dan tidak dibalasnya, barulah aku tahu yang dia memang marah dengan aku. Berkali-kali saya membaca teks saya di kumpulan whatsapp. Aku telah memberi pendapat tentang siri drama “Dosa” yang bagi saya terlalu mencuba dan mengikut siri popular “Narcos.” Aku tidak suka dengan Dosa yang agak membosankan buat aku. Apa yang salah dengan pendapat itu? Adakah maksud yang aku ingin sampaikan hilang di dalam penulisan kekok aku? Kemungkinan. Mungkin Abang Mior mendapat maksud lain dari maksud sebenar aku. Mungkin Abang Mior merasakan yang saya terlalu membanggakan filem barat. Aku akui memang ada “bias” seperti itu tapi bukan maksud aku dalam teks itu. Memang aku tahu banyak filem barat yang tak bagus. Itulah kali pertama Abang Mior marah dan tidak bercakap dengan aku. Berat hatiku dalam hari-hari berikutnya.

Tetapi kami berkawan balik beberapa minggu selepas itu. Mungkin angin Abang Mior tidak bagus. Bila kami duduk berbincang skrip, Abang Mior seolah-olah lebih sensitif kepada adegan-adegan kami yang menunjukkan kerjasama diantara kaum “Tak lojik, mana ada macam tu?” dia bertanya marah suatu hari. Aku terkejut. Dalam hati, aku berkata, “How about me and you?

Mungkin Abang Mior sudah lama menyimpan marah terhadap perlakuan barat atau program sekolah aku. Suatu pagi aku bangun dan melihat teks dari Abang Mior. Satu video dihantarnya, dengan mesej untuk menonton sampai habis. Aku membuka video serta-merta.  Video merupakan syarahan seorang pensyarah bersuara makcik yang mengatakan bahawa orang Cina adalah pendatang di Tanah Melayu. Aku ternganga! Video ditutup, tidak sanggup aku habis melihatnya.  Waktu itu hatiku begitu terguris. Aku terbingung di atas katil dan mengimbau kembali persahabatan kami. Adakah politik sekarang akan merobohkan suatu persahabatan kita? Kenapa Abang Mior menghantar video seperti itu kepada aku? Apakah yang sedang bergolak di dalam kepalanya? Sudah pasti aku melakukan sesuatu yang menyakitkan hatinya tanpa disedari aku.

Video itu mengganggu aku untuk beberapa hari. Dalam kegelisahan, aku menanya pendapat kawan Melayu lain, yang lebih sebaya aku. “Kita dah 60 tahun Merdeka,” kata kawanku Hafeez. “Bukan semua orang berfikir macam tu.” Sejuk sedikit aku mendengar. Dalam usahanya memujuk aku, Hafeez menyambung. “Video itu bukannya menuduh, cuma sekadar sejarah. Tapi memang tak patut dihantar kepada kamu. Ala Lin Dee, biasanya orang yang berusia sedikit suka merajuk, janganlah risau. Nanti okay.”

Mungkin Abang Mior rasa bersalah sebab beberapa hari kemudian, datang teks lain yang tidak kena mengena dengan isu perkauman. Pembentangan dengan FINAS pun tidak lama lagi. Suka tidak suka, kami mesti berjumpa untuk menjayakan projek kami.

Disinilah terujinya persahabatan kami. Panjang lebar aku tentang kemaafan dan persahabatan meliuk-liuk dalam kepala aku. Aku tidak ingin memainkan peranan mangsa. Tidak adil jika aku tidak cuba melihat perspektif Abang Mior. Sudah tentu, dia mempunyai sebab untuk menghantar video itu, dan mungkin tanpa disedari, aku memprovokasinya. Pada kebiasaannya, orang tidak menembak sekiranya tidak ditombak dulu. Aku sedar sekarang yang sesetengah idea aku terlalu ideal, dan kurang praktikal pada masa genting Malaysia sekarang. Aku mungkin kurang memahami perasaan orang Melayu pada masa itu. Aku dan Abang Mior mempunyai politik dan ideal yang berbeza. Sudah pasti akan ada masanya bila idea bercanggah. Kami sebagai orang Asia segan berterus-terang, tapi perasaan terhiris tersimpan.

Selepas beberapa hari bertapa dengan kopi dan YouTube, aku mengambil keputusan untuk melupakan peristiwa video ini. Mungkin Abang Mior mempunyai kekecewaan yang tersendiri. Mungkin Abang Mior ternampak status kurang ajar dari orang Cina yang membuatkannya menghantar video itu kepada aku. Mungkin aku mengeluarkan ideologi yang tidak seiring atau tidak bertimbang rasa dengannya. Mungkin. Sebagai insan, kita harus sentiasa mencerdikkan diri supaya bila timbul keadaan sebegini, kita tidak bertindak membuta-tuli. Dan mungkin, sekiranya persahabatan itu bermakna, boleh kita cuba teruskan.

Bila kami berjumpa beberapa hari kemudian, kami tersenyum kekok dan tidak menyentuh topik itu. Sama-sama kami faham dan sama-sama kami bergerak ke depan.

Peristiwa di FINAS

Datanglah pembentangan dengan FINAS dan pasukan kami (aku, Abang Mior dan Khai) memasuki kamar penghakiman dengan berdebar-debar. Aku telah membuat persediaan yang rapi, dan menyampaikan cerita dengan lancar. Seorang pegawai tersenyum lebar. Cerita kami menarik, katanya. Tidak banyak soalan yang dikemukakan. Seorang lagi pegawai mengenyit mata dengan aku. Rupa-rupanya kawan aku dari Universiti Sains Malaysia dulu.

Lega bila kami keluar. Kami ke kafeteria untuk berehat dan makan. Abang Mior seperti kembali kepada dirinya dulu, penuh dengan jenaka, pelbagai pendapat dan idea untuk dikongsi. Sebarang jarak diantara kami mula pudar. Aku gembira.

Beberapa bulan berlalu dan kami mendapat berita bahawa cerita kami ditolak FINAS. Kekecewaan yang menimpa kami bertiga terlalu berat. Masing-masing tidak berkata banyak di whatsapp, tapi masing-masing menyalahkan diri. “Mungkinkah kerana aku?” aku bertanya. “Pembentangan saya tidak cukup menyeluruh? Adakah aku menyakitkan hati mana-mana panel hari itu?” Khai pula berasa bertanggungjawab kerana membawa idea FINAS kepada kami, dan dengan gopoh-gapah cuba mencari alternatif lain. Tapi Abang Miorlah yang paling terganggu. Aku tidak tahu yang Abang Mior menyalahkan dirinya dan merasakan kami gagal kerananya. Pelbagai persoalan negatif terngiang-ngiang di kepalanya.

Rasanya kami bertiga hilang semangat untuk seketika.

Beberapa bulan sayu berlalu dan aku menerima panggilan telefon dari sahabat Haji Zaini lagi yang mula-mula memperkenalkan Abang Mior kepada aku. “Eh jomlah kita berjumpa,” katanya ceria seperti biasa. “Ajaklah Abang Mior sekali.” Aku bersetuju. Sudah lama aku tidak bersua dengan Abang Mior, dan komunikasi kami hanya melalui Facebook dan whatsapp.

Pada malam itu, cuma Zaini sahaja yang ceria. Abang Mior duduk termangu dan aku pula tertekan dengan ketiadaan pencapaian perfileman setakat ini. Perbualan mendatar dan kesugulan tertancap di riak muka masing-masing.

Aku menanya tentang projek terkini Abang Mior. Selain dari beberapa kerja perlakonon, Abang Mior baru menghantar proposal telemovie kepada RTM.

Aku mengangguk dan meneguk teh ais. Malam hening dan aku memandang kepada beberapa mamat yang menghisap rokok. Entah kenapa, tiba-tiba aku teringat kata-kata Abang Mior beberapa bulan yang lalu. Komennya mengenai skrip kami.

“Abang Mior,” kataku perlahan. Dia menoleh selamba.

“Apa kata kita ubah filem kita menjadi siri drama, seperti yang dicadangkan Abang dulu? Apa kata kita mencuba dengan RTM?” saya bertanya.

Abang Mior melihatku. Mata mula kehilangan lesu.

“Kita perlukan dana untuk menghantar proposal siri drama. Syarat RTM.” balasnya.

“Saya bagilah,” aku menjawab terus.

Kesedaran tampak di muka masing-masing.

Tenaga malam langsung bertukar dan kami bagaikan robot yang habis dicaj. Kemurungan malam lesap dan perbualan lincah ligat diantara kami sehinggakan Zaini sedikit tersisih. Kami membincangkan idea-idea untuk siri drama dan pelbagai adegan baru yang boleh kami selitkan. Suara masing-masing mula naik kembali. Malam berakhir dengan harapan baru.

Selepas itu, proses bergerak dengan cepat. Khai dipanggil lagi untuk membantu dengan projek ini. Kertas kerja disiapkan dan tidak lama kemudian kami di panggil untuk pembentangan dengan RTM.

Abang Mior enggan memasuki kamar pembentangan.

“Kenapa?” aku tanya terkejut. “Abang kena masuk dengan kamilah.”

“Tak perlulah, saya sibuk,” kata Abang Mior sungghpun dia muncul di lobi RTM pada hari itu.

Aku tidak sedar yang Abang Mior begitu terganggu dengan kegagalan kami di FINAS dan tidak ingin merosakkan peluang ini. Aku hanya tahu beberapa bulan kemudian bila kami berjumpa selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Dengan harapan dan doa besar, aku dan Khai mewakili Alkahfi Productions dan memberikan persembahan yang terbaik. Tiga mata panel memandang kami dengan wajah kusam tak bersenyum. Aku tetap melemparkan senyuman dan mulalah aku membentang sehingga hampir bersyair di dalam bilik itu. Kami berjalan keluar dengan semangat tinggi.

Sememangnya apa yang berlaku di FINAS meruntuhkan keyakinan diri Abang Mior. Entahlah desas-desus apa yang didengari Abang, tapi kegagalan kami datang dari beberapa faktor, bukan kerana kehadirannya. Bila aku mendapat tahu, barulah aku mula memahami beban mental yang digamit Abang Mior. Aku faham kenapa Abang Mior redha bila kita gagal dengan Astro. Harapan tinggi boleh membawa kepada kekecewaan, mungkin lebih baik kita pesimis untuk mengelakkan hati dilukai. Tapi Abang Mior salah. Bukan disebabkannya. Kali ini Abang Mior yang tak lojik.

Aku kerap bertanya juga, kenapa kami gagal dengan Astro dan FINAS. Apakah tujuan kegagalan dan kekecewaan ini? Apakah yang alam semesta ingin lakukan dengan kami? Nak memberi tunjuk ajar kepada kami? Nak tukarkan pasukan kami? Nak tukarkan filem kami? Mungkin filem kami tidak cukup syarat, tidak cukup memberangsangkan…… pelbagai faktor yang ada. Sebagai manusia, mungkin kami tidak memahami rancangan besar alam ini. Bila kami gagal dengan FINAS, kami terus melihatnya sebagai suatu berita buruk yang pahit diterima. Tapi, adakah mungkin, kegagalan mendapat sesuatu adalah suatu rahmat? Dana yang diberikan oleh FINAS kepada syarikat-syarikat yang berjaya tidak banyak, tidak cukup untuk melaksanakan visi Abang Mior dan aku. 

Mungkin, kami tidak memahami naik-turun ombak hidup tetapi harapan dan minda positif itu harus untuk masa depan yang lebih bagus. Dalam pada semua ini, kepercayaan aku terhadap cerita filem kami dan kebolehan Abang Mior tidak pernah pudar. Aku yakin aku di kalangan orang yang bernas. Aku tidak terpengaruh dengan perbualan orang lain dan tidak tergoda untuk bekerja dengan sutradara yang “popular.’ Aku yakin Abang Mior adalah orang paling sesuai untuk cerita “The Full Moon,” kami.

Kepercayaan (belief) datang dari jiwa yang kental dan berita baik datang beralun merdu. Suatu pagi aku terjaga dengan deringan telefon. “Pembentangan kami di RTM “lulus cemerlang!” teriak Khai. “Kami berjaya!”

Ya Tuhan! Ya alam semesta. Kegembiraan yang tidak terhingga melimpahi badan saya. Lantas kami memberitau Abang Mior melalui teks. Apa agaknya reaksinya, berfikir aku bila menunggu balasan.   Agaknya, berita ini merupakan katarsis untuk Abang Mior, membuktikan kepada dirinya yang dia memang berkebolehan dan masih diperlukan untuk industri perfileman.

“Alhamdullilah,” itulah balasan Abang Mior. Aku yakin Abang Mior menitiskan air mata. Aku pun sebenarnya. Rasanya Khai juga. Ketiga- tiga kami dari ceruk Kuala Lumpur masing-masing menitiskan air mata. Abang Mior mengucapkan terima kasih kepada aku dan Khai kerana sentiasa menyokongnya.

Abang Mior, Khai dan aku, tiga sekawan yang tidak berputus asa.

Abang Mior, Khai dan aku, tiga sekawan yang tidak berputus asa.

Maka itulah kisah persahabatan aku dengan Abang Mior. Kisah dua orang yang cukup berbeza tetapi berjaya sebagai rakan seperjuangan. Pandangan sekilas mungkin menunjukkan perbezaan besar di antara kami, tetapi pandangan yang teliti menunjukkan pelbagai kesamaan.

Jiwa.

Sensitif. Setia. Semangat.

Mungkin itulah sulaman yang mengeratkan kami. 

Harijadi Abang Mior di  Nov 2019. Kiri-kanan: Kak Izi, Adik Haris, Abang Mior, saya dan Mama saya.

Harijadi Abang Mior di Nov 2019. Kiri-kanan: Kak Izi, Adik Haris, Abang Mior, saya dan Mama saya.

Nantikan drama kita suatu hari nanti!

 

 

Previous
Previous

When The Whole World Is Younger Than Me

Next
Next

The Inability To Be Honest With Our Tribe