Hendak Kaya
Imad menarik skrin Instagramnya. Dilepaskan. Gambar Ashleigh Wong muncul di skrinnya. Menggeletar Imad melihat bikini polkadotnya dan tubuhnya yang masak. Teman gimnya yang gemar berselfie nampaknya sedang beriadah di Pulau Langkawi dengan gerabak kawan-kawannya. Imad mengenali beberapa muka dalam gambar tu dari muatnaik Ashleigh sebelum ni. Semua ni muka-muka parti. Gadis-gadis muda ini yang berbadan kental memegang gelas champagne dan melenggokkan badan untuk menggoda maksima. Biar bilangan LIKES merancakkan ego perempuan. Jari Imad berterbangan di atas gambar itu. Hendak disimpan tak foto ini dalam album peribadinya? Bukannya Ashleigh ni citarasa dia sangat, telinga dia capang sedikit dan suara dia tinggi sangat, tapi aduh, badan bikini tu ada utilitinya. Baik disimpan saja. Save.
Selesai dengan Ashleigh, Imad menatal gambar- gambar lain. Ah nampaknya Murad sudah membeli kereta Mazda CX-5. Poyo betul bekas teman sekolahnya dengan baju berbunga-bunga dan menyandar di bonet keretanya. Apa pun, disedekahkan satu LIKE kepada Murad. LIKE itu benda yang percuma tapi besar maksudnya. Foto sebegini yang sarat dengan dendangan “Aku berjaya” merbahaya kalau tidak diendahkan. Imad tidak ingin dituduh mata hijau nanti. “Please la Murad,” terkeluar cemuhan dari mulutnya. Sudahlah tahun lepas, perasaan tidak puas hati Murad jelas bila Imad membeli kondominium. Komen dan soalan berderet-deret bila berjumpa di Mamak al-Rasyid. Sampaikan nasi goreng Imad sejuk. Insan sebegini yang senang iri hati senang menuduh lain iri hati.
“Orang masih beli kondo kah? Pulangan dia lambat sangat,” kata Murad.
“Aku diversify la. Aku kan ada saham dan Etherium,” jawab Imad.
“Ko beli kat Sungai Besi, aku rasa sewa tak cover ansuran,” kata Murad lagi.
“Biarlah. Bukannya aku tak ada duit untuk bayar,” jawab Imad sombong.
“Buang duit je Mad,” kata Murad yang seolah-olah tidak ada deria sosial langsung.
Imad tergelak dengan memori itu. Kalau buang duit, kenapa beli kereta Mazda?
Bosan melihat Instagram, Imad melihat saham-sahamnya. Merah saja. Tengok FOREX pula. USD 250 down. Sial sial sial! Imad berjalan ke peti sejuknya. Tidak disangkanya, 6 bulan lepas meletakkan jawatan dari syarikat IT, kegempakan hidupnya akan berkisar di sekitar peti sejuknya. Kata-kata usahawan ala Instagram semua tipu-tipu belaka. Mana kehidupan tinggi yang dijulungkan? Paling teruk adalah kesengsaraan memulakan suatu bisnis baru. Realitinya, Imad lebih banyak di rumah. 10 minit menghantar proposal, 2 jam berborak dan meluahkan kerisauan dengan siapa-siapa dan sehabisnya – Netflix, social media dan gim. Imad cukup terpencil.
Kotak plastik berisi oat, kacang hijau dan chickpea diambil dari peti sejuk. Baru semalam Imad menyediakan kotak makanan ini ketika berselang-seli mendengar berita CNN dan Fox News. Rusia dalam proses membaling roket ke bandar Kyiv di Ukraine. “Gila Si Putin ni,” fikir Imad. Merah lautan darah di Ukraine dan merah dunia saham di seluruh dunia. CNN dan Fox News yang biasanya bercanggah pendapat tiba-tiba bersepakat dalam menentang tindakan Putin. Lucu juga.
Salad oatnya memang tidak sedap tetapi Imad dalam proses cuba menghilangkan berat badan. Sekurang-kurangnya makanan hambar dan berkalori rendah ini boleh mengisi perut kosong dan membantu pembinaan garis-garis di badannya. 6-pack itu bukannya cita-citanya. Sukar sangat di Malaysia dengan gizi orang Melayu yang lemak dan manis. Imad hanya menyasarkan badan yang tegang dengan dua garis jelas. Perut besar Imad boleh benarkan nanti di umur 60. Sekarang, di awal 30an, di era Instagram dan masih single, baik Imad suapkan oat ke dalam mulutnya.
Tangannya gatal kembali untuk bermain telefon. Tapi bukankah dia sepatutnya menghabiskan blognya hari ini? Sudah berhari-hari Imad menunda penulisan blognya, kalah kepada panggilan sosial media dan permainan video. Setiap kali Imad berhadapan dengan laptopnya, perasaan bosan yang berat besi menyelubunginya. Skrin kosong di depannya bagaikan lautan luas yang sukar diharungi. Motivasi untuk mengisi ruang dengan perkataan-perkataan langsung negatif. Inspirasi itu bagaikan perkataan yang tidak pernah dihayatinya, Cuma wujud di video mamat Vernaychuk tu. Keringat langsung kering. Begitulah, Imad mengikut moodnya dan lemas dalam dunia media sosial.
2 jam kemudian bila dia timbul dari lautan media, Imad merasakan diri letih dan tidak tenteram. Terumbang-ambing. Ah, efek-efek ketagihan media sosial sudah banyak kali dibacanya, tapi manusia tidak mampu mengikut analisis rasional bila kelakuan sendiri tidak rasional. Manusia cuma insan yang lahir dengan pelbagai kehendak yang sepatutnya tiada. Kenapa pula Tuhan mencipta manusia dengan keinginan yang dasyat? Ujian dari Allah, itulah jawapan dari geng-geng beragama. Mungkin juga, tapi betapa bosannya bila ujian berhari-hari sehingga ke akhir hayat.
Hari ini Imad bertekad menghadapi ujian. Telefon ditepisnya. Sebaliknya, Imad memaksa dirinya ke meja dan membuka laptop. Skrin hitam bertukar warna dan logo Windows keluar. Imad menunggu lesu sambil laptopnya membangunkan system-sistem di dalamnya. ‘Mungkin baik juga kalau aku biarkan laptop aku on sepanjang hari. Bukankah James Clear dalam bukunya “Atomic Habits” berkata bahawa kita harus mencipta situasi yang paling senang untuk membina tabiat-tabiat baru? Imad memang pandai membaca tapi kurang bernas dalam mengikut ajaran-ajarannya. ‘Ya, baik laptop dibuka 24 jam. Tak adalah proses haram menunggu ini,’ fikir Imad. Dalam 2 minit menunggu ini, telefon sudah diambilnya.
Tiada sebarang notifikasi yang menarik melainkan satu kes pelepasan missile Rusia. Ditekannya story-story di Facebook. Seperti biasa, ragam manusia yang paling normal disantapkan ke dunia. HIIT di gym, kopi latte di kafe, riadah bersama kawan, quote mendalam mengenai hidup yang tertera di atas gambar pulau terpencil. Sebiasa-biasa cerita ini, Imad tetap rakus menghadam informasi yang kurang berguna ini. Eh, apa pula Si Swensen buat kali ini. Story kawannya diklik. Gadis Cina dengan rambut emas yang gemar berOOTD. Kawan baiknya hari ini berada di depan pejabat FINAS. Dress putih yang menawan dan kasut tumit tinggi. Kenapa temannya itu sentiasa seksi? Imad tersenyum. Teragak dah Imad bahawa temannya itu dalam proses mencari jalan untuk projek perfilemannya yang terbengkalai. Mereka kerap berteks mengenai cabaran projek masing-masing. Sejuk sedikit hati Imad mendengar. Bukan dia seorang saja yang menghadapi masalah menggerakkan enjin projek.
Telefon diletak ditepi. Wallpaper laptop menghadapinya. Gambar Imad berdiri di yacht di Australia Angin meniup rambut dan senyuman girang. Imad masih ingat betapa gementar dan sejuk dirinya di kala gambar diambil. Imad membuka Microsoft Word. 2 perenggan di atas dokumen kosong menyapanya. Macam bodoh saja bila dibacanya sekarang. Itulah saja yang dapat ditulisnya dalam 1 minggu. Kusut kepala Imad memikir. Selanjutnya, skrin putih menghadapinya lagi. Skrin kosong yang bak mengejeknya, menunggu taipan perkataan-perkataan yang “berinspirasi.”
Imad mengambil telefonnya dan membawanya ke bilik tidur. Telefon ditinggalkan di atas katil. Pintu ditutup. Imad kembali ke laptopnya dan melihat jam. 3:10pm. Dia bertekad untuk menghadap laptopnya sampai 4:10pm. Dengan berat, Imad mula menaip.
************
“Oi amacam projek?” tanya Amrin. Kopi susu pekat ais disedut dari cawan plastik besar. Imad meneguk ais kosongnya dan membayangkan beratus-ratus kalori menjalar dan berpulau di dalam tubuh Amrin yang bersaiz S. Kawannya memang tidak boleh gemuk, tapi sains makanan juga tidak boleh dielakkan. Perut sudah mula membenjol di badan kurus Amrin. Muka masih kebudak-budakkan. 30an itu dimana cara hidup dan gizi masing-masing mewar-warkan diri di badan. Jelas Amrin sudah kehilangan keajaiban metabolismenya. Imad dengan makanan oat dan gim sehariannya megah berseragam dengan baju tee Uniqlo saiz M. Dengan bahu yang lumayan besar dan perut kempis, Imad senyap-senyap bangga dengan kejayaannya dengan Uniqlo. Jangan main-main, kain Uniqlo yang lembut tidak segan menampilkan perut yang kembung dan badan yang malas. Dahlah ramai kawannya yang jatuh mangsa kepada epidemik perut besar, terutamanya mereka yang berkahwin.
Hah! Tapi baju tee Uniqlo tu benda remeh untuk golongan perut besar tu. Bagi golongan itu, semua masalah di dunia tidak sebesar masalah menyuap nasi untuk keluarga. Kalau kerja tak siap, “Anak aku sakit,” Hmmph. Kadang-kadang malas juga Imad berkongsi masalah bisnes dengan temannya yang berkahwin. Kewujudan anak memberikan mereka status pemegang masalah paling penting di dunia, lebih penting dari masalah Ukraine atau kehilangan duit di pasaran saham. Semuanya remeh. “Ko single, apa masalah ko?” balasan leka mereka. Yelah Bang, aku bagi muka je. Golongan paling boring dan beralasan. Hari ini Imad memakai baju tee Uniqlo biru cerulean terang.
“Okayla, tengah siapkan program. Tengah plan video marketing,” jawab Imad memandang kawannya yang sekarang memakan donut bergula.
“Bila nak launch program?” tanya Amrin lagi.
“Second quarter la,” balas Imad bersahaja. Perkataan Bahasa Inggeris ini akan mendiamkan kawannya yang kurang tahu speaking. Macamlah, Imad bertungkus-lumus bekerja setiap hari. Lebih banyak masa dihabiskan berfikir dan bergelut dengan perasaan risau.
Mereka berada di kedai mamak mahal di Kuala Lumpur. Kedai mamak yang menjual nasi goreng untuk RM12 dan kopi susu pekat untuk RM5. Amrin merungut bila dicadangkan tapi Imad sukakan tempat ini yang berhadapan jalanraya sibuk di bandar Kuala Lumpur. Lalu-lintas kereta hipokrit mahal dan pekerja asing yang berjalan kaki menjadi pemandangan mereka bila perbualan terhenti.
Lagi-lagi, ada tempat dudur bar di kedai mamak ini. Imad kerap duduk di bar bila ke sini seorangan. Yang duduk di bar kebanyakannya solo, khusyuk dengan telefon masing-masing. Dari pandangan tepinya dan bunyi telefon berkicau, ramai yang ber-whatsapp dan ber-DM di Instagram. Sungguh tidak boleh bersendirian manusia ini, fikir Imad ketika dia sendiri menghantar teks kepada Swensen. “Hello!”
Pelanggan tidak ramai hari ini dan tempat duduk bar menjadi milik Imad dan Amrin. Tidak perlu Imad melihat muka Amrin setiap minit bila dibar. Tatapan begitu menaikkan tekanan untuk bercakap dan perbualan mula terhenjut-henjut. Imad membawa keluar laptopnya. Mau disiapkan sekurang-kurangnya satu mukasurat penulisan untuk blognya.
“Fuh!” menjerit Amrin dari kerusinya. Imad tergamam sedikit. Kuat sangat suara kawannya kadang-kadang.
“Weh tengok ni, Alif Ahmad dah bongkar kes Rafizi Ramli,” Amrin menunjukkan telefonnya kepada Imad. Jelas, berita ini mengujakannya. “Bankrap langsung syarikat Rafizi!
Imad kehilangan fokusnya dan terus mengambil telefon Amrin. “Wehhhhhh,” teriak Amrin.
“Jap la,” kata Imad, tidak mengendahkannya. Berita pada skrin telefon melaporkan bahawa syarikat Rafizi tidak pernah untung dan sebaliknya kerugian berjuta-juta ringgit.
“Aku pun heran dulu, masa Rafizi sibuk post kat Facebook tentang hebatnya syarikat dia dan betapa high level business dia. Menyampah! Wah cepat sangat company dia naik. Nampaknya politikus penipu jeeee,” kata Amrin dengan nada memandai. Tangannya diangkat kepada Si Bangladeshi yang menghampiri meja mereka. “Neh, teh o ais satu!”
Imad tidak menjawab dan menghabiskan artikel yang mengaibkan Rafizi Ramli, antara ahli politik Malaysia yang dikatakan bijak dan berkaliber. Ramai peminatnya dan ramai juga yang iri-hati padanya. Baru-baru ini Rafizi mengumumkan pengembaliannya ke alam politik. Nak disailang kedudukan Naib Pengerusi sekarang. Rakyat gembira, ketuanan partinya gusar.
“Kencing la Rafizi. Dahlah menyombong,” kata Amrin.
“Rin, mana ada startup yang untung?” tanya Imad.
“Hah?” Amrin terkejut.
“Yalah, satu dunia ni tak kiralah Grab, Shopee, Uber……. Mana ada yang untung? Semua running at a loss je. Startup memang camtu.”
Amrin terdiam, otaknya berpusing bagamana nak membalas sahabatnya. Keyakinannya hilang sedikit.
“Alif ni cuma nak buat kontroversi. Tapi orang yang faham bisnes takkan ambik ni serius,” sambung Imad, memberikan balik telefon kepada Amrin. “Aku masih ingat time sekolah, aku baca artikel di suratkhabar tentang Rafizi di sekolah menengah. Dia dah kata jelas-jelas nak jadi Perdana Menteri. Masa tu dia 14-15 tahun je. Masa aku umur tu, satu benda pun aku tak tau. Suka tak suka, Rafizi ni luarbiasa!”
“Mmmm,” jawab Amrin lemah. Bukannya dia ingin bersetuju, tapi apa lagi yang boleh dikatanya? Pengetahun politiknya terbatas, sekadar mengikut naratif majoriti. Imad pula mengikuti politik dan saham sejak dulu. Nak berdebat dengan kawannya sukar.
Kekekokan Amrin mujurnya diselamatkan.
“Hai Imad,” sapa suara perempuan dari belakang. Kedua-dua lelaki menoleh. Wah! Bekas teman sepejabat Imad. Janda 33 tahun itu memakai baju kurung kelabu berbunga yang ketat. Merah menyala gincunya dan menjalar-jalar maskaranya. Fake lashes kot.
“Eh Nadia, dari mana,” tanya Imad, terkejut. “Dari KLCC, beli barang untuk anak,” jawab Nadia, lantas terus menyelitkan dirinya disebelah Imad. “Tak sangka nampak Imad dan ….. Amrin kan.” Nadia melihat kepada Imad yang berbaju tee dengan jeans. Bersinar-sinar matanya. Amrin langsung tidak diendahnya. “Wahh dah sasa nampak kawan kitaaaa! Dulu solid, sekarang lagi solid!” Nadia mencuit lengan Imad. Melompat terus Imad dari kerusinya sampai air minumannya tertumpah. “Ya Allah……..” teriak Amrin. Kopi pekat membasahi mulutnya.
“Eh beb, ok tak?” tanya Nadia dengan nada runsing. Dia memegang bahu Imad, seolah-olah cuba membantunya. “Kenapa sampai terjatuh? Tengok air dah kena baju Imad, maih saya cuba……..”
“Eh takpe takpe, saya ok,” jawab Imad rimas, cuba menjauhkan diri dari Si Janda Miang itu.
Terkeluar bunyi gelak tercekik dari Amrin. Imad menjeling kepadanya, matanya meminta tolong. Sejujurnya Nadia ini cun juga. Mukanya lawa dari sudut makcik muda. Ramai Pakcik di luar yang pasti ingin membahammnya. Cuma nafsu Nadia yang menonjol-nonjol menakutkan Imad. Mau sangat Nadia ni sehingga menjadi bahan ketawa pejabat syarikat Imad dulu. Setiap pagi sesampai Imad ke pejabat, muncullah Nadia dengan pelbagai hadiah dan alasan berborak. Kadang-kala croissant dan kopi Starbucks decaf menjadi sebab persinggahannya. Kadang-kadang isu menulis surat rasmi (hah?) yang menjadi bahan pertanyaannya. “Apa yang ada pada diriku sampaikan Nadia hanya tertumpu pada aku?” pernah Imad menanya Amrin.
“Manalah aku tau, mungkin kau taste dia la,” kata Amrin. “Sama macam aku sukakan sangat Jessica Chastain, aku pun tak boleh terangkan.”
Sungguhpun Imad tidak berkenan dengan Si Janda Miang, namun besar hatinya juga ada perempuan yang menggilainya. Bukannya Imad tidak boleh menarik perempuan lain. Imad ni memang serba boleh dari segi perwarakan. Riak muka yang serius, kelakian, kulit licin dan badan yang dihasilkan dari rutin gim. Cuma Imad rasakan dirinya tak tinggi. Dia 5ft 6.” Okaylah kalau di Malaysia. Tapi dirasakan dirinya ketot bila menjelajah di Australia dan Peranchis dulu. Ramai gadis Malaysia yang diminatinya sama tinggi atau 3-4 cm lebih pendek darinya. Imad sebenarnya sukakan perempuan tinggi, tapi benda sebegini tak boleh diberitahu orang. Balasan yang biasa adalah bahawa Imad sendiri bukannya tinggi sangat. Tapi apa nak buat? Perempuan yang ketot-ketot dan kecil-kecil kurang menariknya. Semasa remaja, Imad terkesan melihat kawan-kawan di sekelilingnya menjauhinya dari segi sentimeter.
Otak lojiknya yang menyelamatkan Imad dari konkflik ketinggiannya untuk sekian lama. ‘Dah pendek, pendek la. Apa nak buat? Ada yang tak suka, ada yang suka, move on. Lagipun ramai yang lebih pendek dan nampaknya okay je.’ Dan dengan itu, Imad melupakan isu tingginya. Dia lebih fokus kepada mencari duit dan membeli Ducati untuk menunjuk-nunjuk. Best juga.
Tuhan memberikan pula Imad otak yang terlampau lojik. Sukar orang nak menipu Imad yang berfikiran seperti circuit teliti. Sebab itulah Imad kurang risau kehilangan pahala bila terlepas puasa atau sembahyang Jumaat. Sudah 3 tahun Imad tidak ke masjid. Baik jangan diberitahu ibubapanya. Kawan-kawan yang nak menasihati untuk membuka hatinya? Imad langsung menutup pintu untuk perbincangan. Bila Amrin menasihatinya supaya kembali kepada Allah ketika Imad sedih berputus cinta, Imad mengangguk saja. Tapi sejak itu, Imad itu mengambil ajaran jangan menanya pendapat Amrin lagi. Tak ada cadangan lain ke melainkan balik kepada Allah? Sekurang-kurangnya bila dia tanya Si godless sesat Swensen, pelbagai idea dan wisdom diberikan. Bukannya semua kena, tetapi sekurang-kurangnya ada pemikiran kreatif selain “berdoa.” Nasihat paling selamat tapi kurang berutiliti. Ramai yang pasti menghentamnya sesat dan bersalah kepada Allah kalau diketahui. Tapi kenapa? Ini tidak kena-mengena dengan Allah. Imad percaya kepada Allah, cuma bukan dalam cara simplistik kebanyakan orang. Apa nak buat? Allah hadiahkan Imad otak yang paling lojik sempena kelahirannya 3 Oktober 1988.
“Beb, dah lama tak jumpa, senyumlah sikit. Nadia nak order nasig, nak dok sebelah Imad. Borak,” kata Nadia manja. Perempuan ini langsung tidak mempunyai perasaan segan. Dia meletakkan barang-barangnya di meja dan beredar.
Amrin ketawa terkekeh-kekeh. “Boleh tahan setia Nadia ni. Dah tiga bulan ko resign, dia tetap fikirkan ko.”
Imad turut ketawa. “Aku pun hairan, aku tak balas teksnya tapi dia tetap confident je depan aku.” Dia memandang ke arah Nadia yang sedang mengambil nasi campur. Tubuh badan yang subur dan berisi. Berselera juga Imad. “Dia memang boleh tahan,” katanya.
“Ko jangan terfikir nak sekatil dengannya,” kata Amrin jijik.
Imad menukar haluan serta-merta. “Hish. Aku tak desperate sangat.”
“Manalah aku tau?” kata Amrin.
Imad mengangkat tangan memanggil pelayan. Air kosong dimintanya. Tak sangka kawannya yang jauh lebih awek darinya, kurang suka kalau dia berzina. Hmmm, kena berhati-hatilah Imad bila dia sekatil dengan Nadia nanti.
************
Imad mengangkat telefonnya. Jam 7 pagi. Disebelahnya Nadia berdengkur lembut. Imad mengeluh. Perasaan kesal mula bertampuk dihatinya. Tapi apakan daya. Imad lelaki yang separa lemah dan separa lagi………. kan dia single? Secara automatis dia membuka Facebook, biar dilupakan sekejap Nadia yang bogel disisinya. Video Swensen muncul di top feednya. Imad menekan butang segitiga “play” dan bunyi muzik kuat menggemparkan keamanan biliknya. Swensen kelihatan melonjak-lonjak. Atau menari ke tu? Hahahaha.
“Bebbbbb,” panggil Nadia manja. Sudah bangun Si Janda Miang itu. Imad menarik nafas panjang. “Beb tengok apa tu?” tanya Nadia, sambil memeluk lengan Imad. Buah dadanya mencengkam tangan Imad dan terlupalah rasa kesal Imad pada saat itu.
“Tak de apa-apa. Tengok video kawan je,” kata Imad, membelai bahu Nadia. Nafsunya mula meluap-luap. Nadia pula mendudukkan diri dan bermain-main dengan rambut panjangnya. “Beb, suka tak kalau saya lepaskan rambut macam ni?” Nadia menutupi bahagian dadanya dengan rambut lebatnya. Tertutup payudaranya yang tegang dan besar. Mesti Nadia menggunakan krim penegang. Takkan saiz sebesar tu mampu menegak sebegitu.
“Atau beb sukakan kalau rambut Nadia kat atas?” tanya Nadia nakal. Rambutnya disambar dan diletak di kepalanya, tangannya dibiarkan atas, buah dadanya bergelegak, bersiul-siul. Sihir Nadia ini luarbiasa, Terpegun Imad melihat badan Nadia yang segar. Pose Nadia yang menggoda itu selama-lamanya tertangkap dalam memori Imad.
“Bila rambut Nadia kat atas,” jawabnya sukar bernafas. Nadia diterpanya.
30 minit kemudian, Imad menghilangkan diri di bilik air. Selesai bersimbah air, Imad dikembalikan ke realitinya. Rasa kesal kembali lagi. Nadia duduk di katilnya bermain dengan telefon. Dari sudut itu, nampak perut Nadia yang berlemak, cellulite yang meliar di pehanya dan rambutnya yang ala kehantuan. Nadia Si Penggoda lesap, dan digantikan dengan Nadia yang sebenar. Nadia yang Imad tidak berkenan. Dia tidak berkata banyak bila Nadia mencium pipinya sewaktu gilirannya untuk mandi. Dia segera ke dapur, memasak air dan membuat oatnya. Laptop dibukanya dan dia memandang terus ke skrin sungguhpun fikirannya tersekat.
Nadia nampaknya tiada sebarang kesal. Dia muncul di dapur dengan memakai kemeja Imad.
“Errrr Nadia, aku ada kerja sedikit hari nilah. Ada deadline,” kataya dalam suara kecil.
“Ohhh,” kata Nadia.
“Yaaaa, aku ada kerja sedikit,”
“Tak de breakfast ke untuk Nadia?” Tonanya sedikit terkejut.
“Errr ada ada, Nadia nak makan apa?” tanya Imad.
“Apa yang you ada beb?” tanya Nadia sambil berjalan ke peti sejuk. Dia melihat-lihat dan Imad tergagap. Memang tak ada apa dalam peti sejuknya. “Errrrrr,” kata Imad semakin kalut.
“Aku masakkan toast bread dan telur. Imad bancuh kopi, boleh tak? Pastu aku BALIK,” katanya dengan suara meninggi.
Imad mengangguk serta-merta. Kopi segera dibuatnya.
************
Imad membetulkan tali lehernya dan cuba menenteramkan hatinya yang gemuruh. Di depannya, orang berpusu-pusu masuk ke dewan, menyelinap ke barisan kerusi yang tersusun rapi di dewan konferens hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Kesemua orang yang masuk nampaknya segak dan moden. Kebanyakannya lelaki yang nampak gaya mampu bermegah dengan baju tee Uniqlo saiz M. Semakin gementar Imad. Mana makcik-makcik dan Abang-Abang Grab?
“Everyone looks so smart,” dia menulis text kepada Swensen.
Swensen berteks balik. “They’re just disguised underneath their smart clothes. You’re tons better than them!”
Tergelak Imad dengan kelakar Swensen yang pandai membangunkan tenaganya.
“Dah ready?” tanya Amrin disebelahnya. Kawannya hari ini bercermin mata dan memakai kot dan seluar perang muda. Kasut yang tajam pulak tu. Memang bergaya kawannya. “Okay, lepas host perkenalkan event dan blabla sikit, ko akan dijemput naik. 15 minit je tau. Jangan memanjang-manjang, time dah set. Siap-tak siap ko kena turun pentas.”
“Ya boleh je, aku rasa 10 minit aku dah okay.”
“Haaa? Ni event 600 orang tau. Ko buat betul-betul tau.”
“Yalah Rin, jangan bimbang. 10 minit impak la tu,” kata Imad yakin, sungguhpun tidak dirasainya langsung.
Amrin mengangkat kening, sarkastik. Kawannya seperti tahu Imad bersama dengan Nadia. Ah tak hairanlah; Si Nadia itu sibuk berkomen di Facebook selepas mereka bersama. Setiap post yang dimuatnaik Imad diLIKE dan dikomen manja. “Hensemnya Bang,” diantara satu komennya. Geli juga Imad. Bertubi-tubi Nadia menghantar teks dan kerap Imad tidak membalas. Tetapi 5 hari kemudian, bila Imad berseorangan di rumah tanpa sebarang rancangan, Nadia menjadi jawapan yang senang. Kesepian itu tinggi kesakitannya.
Amrin yang dingin berlalu dengan kasut tajamnya. Di keliling pentas terpacak bunting-bunting dengan gambar selebriti kewangan yang berdiri gagah. Kot biru berkilat dan senyuman padu. Syed Setia merupakan guru selebriti dalam bidang saham. Pengikutnya dalam Facebook mencecah 250,000 dan YouTubenya hampir 600,000. Stafnya pun termasuk Amrin. Si Syed ni teman sekolah Amrin dan Imad. Sejak dulu, Syed memang berkaliber. Sifatnya yang ligat, matang dan pandai memikirkan duit sudah pun terkeluar bila dia 10 tahun. Syed seolah-olah tak pernah menjadi kanak-kanak. Sebagai dewasa, Syed padu dalam elemennya.
Mujurlah Imad kawan baik Syed di sekolah dan mujurlah Imad tidak pernah mengejek atau memukulnya. Lalu bila Imad menelefon Syed, meminta slot bercakap di event seminarnya, Syed bersetuju dengan hampir serta-merta. Bersyukur sungguh Imad. Boleh tahan baik Syed juga.
“Boleh, boleh, asalkan apa yang ko cakap tak clash dengan benda aku dan complement dengan benda aku,” kata Syed. “Aku suka tolong kawan sekampung.” Amin. Bersyukur sungguh Imad. Boleh tahan baik Syed juga.
Peluang berpentas di hadapan pengikut Syed itu peluang keemasan. Imad selaku pembuka tirai kepada Syed bererti dia menerima chop kawannya yang gagah. Pasti ada pengikut Syed yang tertarik dengannya nanti. Imad cukup berbesar hati. Dua hari Imad terperuk di rumah menghabiskan blog dan perancangan ucapannya pada hari ini. Teks mesej Nadia tidak diendahkan lagi sehinggalah dia keluar dari rumah untuk merehatkan mindanya yang letih. Pada waktu itu, sudah “12 missed calls” dari Nadia.
“Ya lah, aku busy ni, kan dah kata tadi,” jawab Imad akhirnya bila Nadia berdering lagi.
“Busy sampai tak boleh angkat telefon?” tanya Nadia marah.
“Ada meeting dengan investor nanti. Imad kena prepare. Tension tau. Lepas meeting, kita keluar lagi okay,” tipu Imad.
Nadia kegembiraan. Beberapa selfie sexy dihantarnya kepada Imad. Terhibur pula Imad.
Di penjuru bawah pentas sekarang, Imad kehilangan cool. Mahukah orang mendengar apa yang disampaikannya? Audien disini merentas kota untuk melihat Maharajah Syed. Malaun siapa pula ni yang datang mengacau? Imad tidak biasa bercakap di depan orang ramai. Berdebar sungguh. Bilakah neraka di hati ini akan berakhir? Apalagi melihat peminat-peminat Syed yang nampaknya cerdik dan berpendidikan tinggi. Kalau Imad kena boo, baik dia bersembunyi setahun dalam rumah saja. Grablah untuk setahun, oat pun boleh dibeli dari Grab.
“Dah start dah, dah start dah,” panggil Amrin kepada Imad. Staf Syed riuh berjalan ke tempat masing-masing, semua bagaikan pegawai Men in Black, bercakap dalam headset dan memberi pelbagai isyarat tangan. Bukan main serius muka mereka. Atau sekadar bersandiwara sahaja untuk menunjukkan ketuanan diri? “Puak-puak mengada,” bisik Imad ketika mengambil tempat di belakang pentas, gemuruh di dadanya makin meningkat. Amrin disebelahnya tidak menghiraukannya, terikat sekali dengan imej Men in Blacknya, sibuk pula dengan walkie-talkienya.
“Dah, dah, Imad dah ada kat sini,” kata Amrin kepada walkie-talkie. Sejurus kemudian, telefonnya dikeluarkan dan teks mula ditaip. Setahu Imad, Amrin kurang berorganisai; ini mesti berpura-pura menunjukkan kesibukan. Satu patah kata sokongan langsung tak diberikan. Kawan apa ni? Imad menunggu saja saat namanya dipanggil. Cepatlah ya Allah.
Suara lantang pengacara menyapa penonton jelas kedengaran. Terasa kaki Imad lemah bila mendengar tepukan gemuruh yang diberikan. Ramainya di luar. Tapi Si Pengacara nampaknya selesa di atas pentas. Lawak diberikan, harapan dilemparkan. Imad mula rimas menunggu namanya dipanggil. Jantungnya berdegup kencang.
“Ok, ok. Get ready,” teriak Amrin seolah-olah Imad berdiri 10 kaki darinya.
“Kita mempersilakan seorang expert saham yang tidak percaya kepada tip-tip pasaran dan memegang teori bahawa “Asalkan tak hilangan duit, okay la tu.” Cewhhhhhhh! Kita persilakan Azimad Adiiiiii!”
Tepukan bergema dan Imad merasakan belakanganya ditepuk Amrin. “Good luck bro,” Pandangannya berpinar-pinar ketika dia berjalan ke arah cahaya. Dari sudut jalan tepi yang dilewatinya, nampaklah akhirnya Si Pengacara suara lantang. Bersut hijau muda, bertepuk dan bersenyum ceria menunggu ketibaan Imad. Bagaikan Malaikat Maut dengan mikrofon.
Imad melangkah masuk ke pentas dan cahaya terang menerkam pandangannya. Nampaklah penonton-penonton cerdik dan berpendidikan bertepuk tangan. Riak wajah mereka kini mempelawa, senyum lebar pula tu. Kedengaran sorakan dari entah siapa. Imad mula teruja. Imad sekarang “berkedudukan tinggi.” Pada saat ini Imad seorang speaker yang dikatakan “expert saham.” Sama ada benar atau tidak, tidak mengapa. Imadlah di atas pentas. Takkan orang yang bodoh dibenarkan atas pentas.
Si Pengacara berkata sesuatu kepada Imad tapi sukar untuknya fokus di ambang kelantangan dan pemujaan. Derianya terlalu dirangsang bunyi, cahaya dan tumpuan mata padaya. Apa yang diingatinya adalah bila mikrofon akhirnya diberikan kepadanya dan dia berdiri keseorangan di atas pentas, dibuai tepukan yang tidak pudar.
“Terima kasih semua dan salam sejahtera saya ucapkan,” bermula Imad mencari suaranya. “Hari ini, saya akan berkongsi sedikit mengenai pasaran saham dan bagamana jika kamu kurang tamak, boleh mendapat pulangan yang jauh lebih dari kawan di sekeliling kamu.”
Tepukan gemuruh lagi. Perasaan yakin mula menggelembung.
Imad mula bercakap.
************
Imad melebarkan senyuman palsunya untuk menyembunyikan perasaan ingin mencekik orang di depannya. Kenapalah begitu ramai orang yang menanya soalah bodoh? Pakcik di depan sekarang menanya kalau pelaburan RM100 dalam pasaran saham boleh menjadi RM10,000 dalam setahun. Lagilah dengan aksi memandai. Soalan beginilah yang melatih tahap kesabaran Imad. Apa, orang ingat duit ni tak tahu matematik? Tak tahu lojik?
Namun Imad membalas dengan sopan. “Tidak Encik, untuk mendapat pulangan tinggi dari pasaran saham, duit yang dimasukkan harus banyak. Teorinya mudah. Duit yang diberikan adalah tahap benchmark dimana pulangan boleh dIdapat balik. RM100 mungkin mengambil 7 tahun untuk menjana RM10,000, dalam kiraan konservatif, tanpa mengambil kira market crash.”
“Eh tipulah semua cerita saham ni,” balas Pakcik.
Haram jadah sial! Imad menarik nafas.
Imad sudah menghabiskan 30 minit dengan Pakcik ni yang menanya soalan tidak lojik bertubi-tubi. Imad hampir mencekiknya apabila soalan yang pernah ditanya ditanya lagi. Selepas habis soalan-soalan kurang bernasnya, merungut pula mengenai harga subskipsi Imad. “Mahalnya servis adik ni, dahlah harga minyak dah naik lepas perang Rusia ni,” katanya. “Baik Pakcik tengok saham sendiri dari subscribe app adik. Satu tahun Pakcik boleh simpan RM6000. Bukannya dik boleh gerenti apa-apa pulangan pun.”
Kali ini Imad senyum sopan dan meminta diri, terus menuju ke meja bufet dimana kopi dan kuih-muih dihidangkan. Pinggan diambil dan isikan dengan kuih paling berkanji. Kuih lapis, bingka jagung, apam gula hangus dan cucur pisang. Donat dimasukkan dalam mulut dan jus oren manis diteguk laju. Biarlah gemuk hari ini, asalkan mood terselamat sedikit. Sewaktu masa rehat di event Syed, Imad sudah menghabiskan sejam berinteraksi dengan ramai dari audiens yang berminat menjana duit melalui formulanya.
Masanya di atas pentas 15 minit tapi Imad merasakan kemujaraban persembahannya. Awalnya, disangka 10 minit panjang. Mana tahu, sesudah mencari elemennya dan bermundar-mandir di pentas, semakin selesa dirinya. Terfikir, kenapa pula Syed memberikan slot pertama kepadanya? Masa itulah audiens paling fokus dan diam. Sokongan yang diperoleh dari slot itu menaikkan keyakinan Imad akan produknya. Penonton rajin mendengar dan ramai yang mencatat nota. Di akhir perbahasannya, ramai mengambil “screen shot” slide butir-butir sosial media dan blognya.
Sepanjang hari itu Imad melepak di event Syed. Ramai yang mencarinya, mengambil selfie dan menanya soalan.
“Bang, saya membeli saham Top Glove tahun lepas dan……..”
Imad langsung memotong. “Bang, semua orang yang membeli saham rubber glove tahun lepas mendapat durian runtuh la. Tutup mata je, datang.”
“Ya tapi Bang, tahun ni, saya nak ikut cara yang sama dengan saham vaksin……”
Imad memotong lagi. “Bagus macam tu. Lakukan. Perbezaannya mereka yang boleh menjangka masa depan dan mereka yang berani mengambik tindakan.”
“Ya Bang, tapi……”
Seorang gadis muda cantik dengan telekung hitam menghampirinya. “Bang boleh selfie.”
Imad terus memberikan senyuman lebarnya dan gadis itu mendekatkan mukanya kepada Imad. Bibirnya dimancungkan. “Tag ya di IG nanti,” kata Imad. “Adik nama siapa?
“Qath, Nama saya Qath.” jawab gadis ini. Senyumnya semakin manis. Kulitnya putih dan susuk badannya nampak kecil. Suaranya pula feminin gila. Mungkin terlalu feminin.
“Saya follow Bang nanti, drop DM ya,” katanya, diikuti dengan tawa. Ditekan-tekan telefon skrinnya.
Imad mengeluarkan telefonnya serta-merta. “Theangelbabyqath has started following you.”
Dibuka profail Qath serta merta. Gambar-gambar cantik dan jelas diedit. Mata yang lebih besar dan berkilat dari gadis yang berdiri dihadapannya.
“Nanti saya DM,” kata Imad lembut. Edit tak edit, gadis ini memang cantik, sungguhpun badannya kecil sedikit untuk citarasa Imad. Tapi dari segi paras rupa memang pass besar. Yang lain-lain tu, akan diketahui nanti.
Telefonnya bordering. Nama Nadia terpampang besar di atas skrinnya.
“Maaf ya,” kata Imad serta-merta kepada Qath. Gadis itu senyum manja.
“Bebbbbbbbb,” suara menakutkan bergema di telefonnya.
“Eh Nadia,”
“Eh Nadia, eh Nadia, apasal Mad tak ajak Nadia ke event hari ni? Tak bagitau pun. Dahlah Nadia sibuk pagi ni kat umah buat 3 biji kek. Baru nampak IG. Wahhhh, dah jadi speaker pentas, tak bagitau pun Nadia. Sampai hati Mad!”
“Laaaa ni kan first time I cakap atas pentas. Takut gagal. Imad tak ajak pun sapa-sapa. Nanti makin gementar. Lagi kalau Nadia ada, semakin gementar, Nadia ni kan betina yang sungguh luarbiasa” kata Imad separuh berhelah.
Ternyata helahnya berjaya dan ternyata Nadia cukup senang dengan Imad, lelaki idamannya. “Alaaaaaaa, janganlah yang, hehehe. Nadia datang malam ni boleh?”
“Datang je, Imad tunggu.”
“I miss you, muah muah,” langsung manis dan bersuara bayi Nadia.
Imad meletakkan telefonnya. Qath masih berdiri di depannya, berbual dengan seorang teman.
“Maaf Qath, kakak saya call tadi. Nak pergi minum kejap?” tanya Imad.
“Jom,” jawab Qath, senyuman manis terukir di bibirnya.
***********
Cuaca hari nyaman. Dibawah langit mendung Imad memerhati gelagat manusia yang berlalu di depannya. Kafe Pohon di Petaling Jaya terletak di tepian kawasan Bangsar. Menunya menyajikan harga-harga mahal, harga yang lebih dari keselesaan Imad. Tetapi tempat ini lapang, apalagi bila hendak berjumpa dengan gadis ayu Qath. Imad tiak menyangka betapa terbuka Qath kepadanya. Telefonnya sudah penuh dengan teks Qath. Sudah 3 hari mereka berteks dan Qath tidak menunjukkan sebarang kemusykilan dalam mengeratkan silaturahim mereka. Perihal dirinya di kongsi, zaman persekolahannya dan last boyfriendnya yang berhijrah ke Singapura. Stail Qath bagaikan kawasan kafe ini. Kurang menonjol tetapi tetap menarik.
Temujanji mereka pukul 2:30 tengah hari, masa yang lebih aman untuk perbualan. Imad sudah berfantasi melihat Qath tanpa tudungnya. Oh, mesti cantik budak ini. Tak sabar Imad menanggalkan kainnya.
Persahabatannya dengan Qath berjaya mengurangi perasaan risau yang merundung Imad. Selepas event Syed dan interaksi dengan pelbagai soalan bodoh, tidak ada seorang pun yang mengambil subskripsi app Imad. Sifar. Bila Amrin menanya sehari lepas, malu Imad mahu menjawab. “Adalah 10 orang macam ni,”
“Haaa tu je?” tanya Amrin. Mau disepak muka Amrin. Dari telefon, kedengaran suara Syed di belakang.
“Imad cakap dapat 10 subskripsi,” jerit Amrin. Imad meletakkan tangan di dahinya. Amrin ni budak-budak la.
Bunyi dup dup Amrin menukar panggilan telefon ke speaker phone.
Suara Syed bergema dari belakang. “Eh dah kira bagus tu. App Imad ni baru. 10 tu bagus giler. Dulu, aku buat seminar, 1, 2 je yang sign up. Weh, tahniah Imad! Hero la you. I akan subscribro bro!”
“Eh eh terima kasih sangat,” balas Imad. Rasa kesal kerana menipu kawan-kawannya, tetapi lega mendengar kata Syed yang lebih sebati dengan kelakuan pelanggan.
Kalau bukan kerana teks Qath yang merangsangkan, lebih risau Imad mengenai kekurangan subskripsi appnya. Kalau boleh, Imad lebih mahu berjumpa perempuan bila masalah kerjayanya selesai. Sekarang, di ambang kegagalan, Imad kusut.
“Hey Imad,” namanya dipanggil. Imad menoleh. Swensen rupanya. “Eh hai,” katanya. Gadis Cina yang periang dan berambut emas ini berpakaian cantik seperti biasa. Dress panjang hari ini yang tidak berlengan. Tangan yang putih dan fit memegang tripod.
“What you doing here?” tanya Imad. “Oh meeting Dato Kadir to discuss my film project, but I thought I would OOTD first,’” Dia gelak. “How bout you?”
“Ah just meeting a friend la,” jawab Imad, tidak ingin berpanjang lebar.
“How goes the app?”
“Okayla……….cari makan,” Lagilah dia tidak ingin berpanjang lebar.
Swensen duduk di hadapannya. “I gotta new project if you minat.”
“Projek apa?” tanya Imad. Swensen ni memang banyak projek dan pandai pula mencari peluang.
“Buat bisnes susah kan?” tanya Swensen, dengan wajah menahu. Imad mengangguk perlahan. “Sangat susah.’
“Tau kenapa susah?” tanya Swensen. Muka gebunya direhatkan di tangan putihnya. Kukunya berwarna biru muda dan merah jambu. Imad memerhati Swensen penuh khusyuk.
“Susah sebab kita semua buat industri yang terlampau legal. Kalau kita buat industri yang tak betul sedikit…….mmmmmmm heheheheh,”
Imad terlopong.
“I’m sure your Syed tells a lot of tall tales and does a lot of shit to get his giant audience!” sambung Swensen penuh bertenaga.
“Which business doesn’t do it?” balas Imad semakin berminat.
“Yeah, the world lies. China pretends it didn’t know Putin was gonna invade Ukraine, but……..”
“You’re so right,”
“Eh I gotta go, Dato is here,” kata Swensen melihat telefonnya yang berdering. “How about we meet besok?”
Muka Imad berkilau. Hatinya tiba-tiba ringan.
“Definitely!” sahut Imad. Kalau boleh, dia nak batalkan dengan Qath dan bercakap dengan Swensen sekarang juga.
“Okay see ya tomorrow,” senyum Swensen. Dia berdiri dan berjalan ke meja lain, dressnya berbuai cantik di keliling kakinya.
Sejurus kemudian Imad ternampak Qath memasuki kafe. Baju kurung putih dan selendang pink. Fuh! Dia berdiri dan melambai, senyuman yang tulus buat pertama kali dalam banyak bulan.
Tamat